Halaman

08 June 2011

TDM catat keuntungan

Oleh: Suriati Ali



TDM Berhad, syarikat pegangan pelaburan milik kerajaan negeri mencatatkan lonjakan keuntungan sebelum cukai sebanyak 67 peratus kepada RM129.2 juta untuk tahun 2010 berbanding RM77.5 juta tahun sebelumnya.

Ia seiring dengan peningkatan pendapatan kumpulan sebanyak 25 peratus daripada RM335.6 juta kepada RM420.4 juta, hasil daripada peningkatan pengeluaran di bahagian peladangan serta prestasi bahagian penjagaan kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Badrul Hisham Mahari berkata, bahagian peladangan mencatat keuntungan sebelum cukai berjumlah RM119.5 juta, iaitu peningkatan sebanyak 73 peratus.

''Bahagian penjagaan kesihatan pula telah mencatatkan kenaikan 47 peratus keuntungan sebelum cukai berjumlah RM11.2 juta,"

Perolehan bagi suku tahun pertama tahun ini turut memperlihatkan prestasi kukuh dengan peningkatan 18 peratus kepada RM105.8 juta manakala keuntungan sebelum cukai bertambah 42 peratus kepada RM38.2 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

TDM kini mengendalikan 12 ladang kelapa sawit di negara ini dengan jumlah keluasan 33,284 hektar dan pertumbuhan masa depan dijangka datang daripada perkembangan perniagaan di Kalimantan, Indonesia.

''Kami yakin pelaburan di Kalimantan merupakan satu strategi yang tepat, ia membolehkan kami memperluaskan perniagaan teras dan sejumlah RM44 juta telah dibelanjakan," katanya.