Halaman

20 June 2011

Penantian lebih sedekad genggam piala johan keseluruhan tilawah

Oleh: Aida Abd Rahman



Kecemerlangan Terengganu bukan hanya dalam bidang sukan dan pendidikan, malah turut memahat nama dalam bidang keagamaan apabila menamatkan kemarau lebih sedekad tidak merangkul piala pusingan johan keseluruhan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan selepas dinobatkan sebagai juara keseluruhan pada pertandingan itu, Jumaat lalu.

Kejayaan bersejarah selepas kaki terakhir merangkulnya pada 1998 diulangi Ahmad Tirmizi Ali, 26, dan Norhidayah Abdul Rahman, 20, yang muncul sebagai pemenang tempat ketiga dan keempat bagi kategori qari dan qariah terbaik pada tilawah edisi ke-54 di Dewan Majlis Islam Sarawak, Kuching, Sarawak.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kemenangan itu secara tidak langsung membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam melahirkan tokoh agama pada masa depan.

"Saya bersyukur kerana Terengganu bukan sahaja cemerlang dari segi akademik dan sukan, tetapi juga cemerlang dalam bidang keagamaan," katanya.

Menteri Besar berkata demikian ketika menyambut kepulangan rombongan peserta Terengganu daripada menyertai Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan itu, di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat serta Timbalannya, YB Haji Muhammad Ramli Nuh; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha'ari Idris dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Haji Mohd. Rozali Salleh.

Bagaimanapun, Ahmad Tirmizi tidak dapat menyertai majlis sambutan itu berikutan isterinya sedang sakit.

Sementara Nor Hidayah berkata, kejayaan membawa pulang trofi juara keseluruhan itu memberi perangsang buatnya melakukan lebih baik pada masa depan dan terus berusaha memajukan diri dalam bidang berkaitan keagamaan.

“Ini penyertaan kali kedua saya di peringkat kebangsaan dan kejayaan membawa pulang Piala Pusingan Johan Keseluruhan Tilawah Kebangsaan (2011) ini amat bermakna buat saya, walaupun secara peribadi saya hanya memperolehi tempat keempat keseluruhan qariah terbaik,” katanya lagi.



Ahmad Tirmizi yang memenangi tempat ketiga membawa pulang RM5,000, piala iringan, hadiah iringan dan sijil, manakala Nor Hidayah yang mendapat saguhati menerima hadiah wang tunai RM2,000, hadiah iringan dan sijil.

Seramai 29 qari dan qariah dari seluruh negara mengambil bahagian pada tilawah kali ini yang bertemakan '1Malaysia, 1Ummah".