Halaman

14 June 2011

TADC ternak ikan air tawar

Oleh: Suriati Ali

Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) mampu mengeluarkan 100 metrik tan ikan air tawar jenis tilapia dan patin hibrid dalam tempoh sebulan.



Pengerusi TADC, Encik Razali Idris berkata pengeluaran projek itu dari semasa ke semasa sentiasa meningkat iaitu pada tahun 2009 sebanyak 85 tan metrik, 96 tan metrik pada 2010 dan 50 tan metrik sehingga Jun 2011.

Katanya, pada masa sama kerajaan negeri meluluskan kawasan seluas 2,800 hektar untuk ternakan ikan dalam sangkar di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

“Sasaran projek akuakultur itu ialah untuk memenuhi pengeluaran makanan negara, dan TADC akan menarik seberapa ramai pengusaha untuk melabur dalam bidang tersebut,” katanya.

“Pasaran utama ikan-ikan itu ialah di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Ipoh, Johor Bharu dan Kuala Terengganu, dan berkemungkinan dieksport jika bekalannya mencukupi,” katanya.