Halaman

27 June 2011

Sukan menyemarakkan semangat kerja berpasukan

Oleh: Esah Abdullah

Sukan bukan sahaja dapat mengekalkan kesihatan fizikal malah membina kekuatan mental seperti mengawal emosi, fokus, menyusun strategi dan membina semangat berpasukan.

Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, melaluinya kita boleh melihat kekuatan mental mampu mempengaruhi corak permainan di samping kekuatan fizikal yang dimiliki.

”Semangat kesukanan yang tinggi di kalangan peserta juga dapat melatih diri untuk mempunyai minda terbuka serta sanggup menerima dan responsif kepada kepelbagaian situasi,” katanya di majlis penutup Karnival Sukan Pejabat-pejabat Daerah dan Tanah Negeri Terengganu (Sudata) di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kuala Terengganu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Karnival, Haji Wan Nawawi Wan Ismail dan semua Pegawai-pegawai Daerah Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Marang, Setiu dan Besut.
.
Katanya, menang atau kalah bukanlah ukuran penting untuk menentukan kualiti sesebuah pasukan sebaliknya semangat kesukanan yang tinggi, bersatu padu, bertoleransi, sikap menerima kekalahan serta meraikan kemenangan itulah kekuatan sebenar.
.
”Sesungguhnya saya melihat penganjuran karnival ini memberi impak positif dalam pelbagai aspek dan menyemarakkan lagi semangat kerja berpasukan kalangan peserta yang mengambil bahagian,” katanya.

Menurut Dato’ Haji Mazlan, tanpa kerjasama erat daripada semua pihak, sudah pasti segala program yang dirancang tidak akan berjaya mencapai matlamatnya sekali gus hubungan yang terjalin ini harus digunakan sebaik mungkin dalam memantapkan perjalanan tugas di pejabat masing-masing.

”Kita harus ingat, semua peserta yang mengambil bahagian adalah warga perkhidmatan awam tunjang kepada kerajaan pada hari ini yang akan melaksanakan dasar seperti telah diputuskan agar berjalan lancar,” katanya.

Sehubungan itu, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu menjadi johan keseluruhan dalam
Karnival Sudata berlangsung selama empat hari di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Sebanyak 14 acara yang dipertandingkan antaranya termasuklah bola sepak, bola jaring, futsal, boling padang, tenpin boling, sepak takraw, badminton, karom, ping pong, paint ball, dart, congkak, bola tampar dan karaoke.