Halaman

16 June 2011

Sokongan semua pihak dorong kejayaan Siti Rajiah

Oleh: Suriati Ali

Ratu Kanu Terengganu Siti Rajiah Ali, 21, memberitahu berkat doa ibu bapa, dorongan jurulatih Mohd Hakimi Abdullah dan sokongan rakan seperjuangan, menjadi faktor utama kejayaan beliau dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 Kuala Lumpur 2011.

“Tanpa mereka, saya tidak mampu meraih kejayaan besar ini serta mengharumkan nama Terengganu di serata negeri dan luar negara,” katanya yang memperoleh enam pingat emas menerusi acara kanu secara individu dan berpasukan.

Kejayaan dalam acara K1 1000 meter, K4 1000 meter, K1 500 meter dan K4 500 meter itu membolehkan Siti Rajiah layak menerima sumbangan Kerajaan Terengganu sebanyak RM30,000 secara keseluruhan.

Katanya, dia bangga dengan sikap cakna kerajaan negeri yang sanggup mengeluarkan belanja dalam jumlah yang besar semata-mata untuk membangun bidang sukan.

“Wang kemenangan RM30,000 ini akan disimpan untuk kegunaan masa depan selain membeli beberapa aset berharga untuk keluarga yang telah banyak memberi sokongan dan dorongan untuk saya meraih kejayaan,” katanya.