Halaman

26 June 2011

Satu Komuniti Satu Kelab Anak Yatim

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri bercadang mewujudkan Satu Komuniti Satu Kelab Anak-anak yatim bertujuan menjaga kebajikan golongan itu supaya tidak tercicir daripada arus pemodenan dan juga pembelajaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata anak-anak yatim sewajarnya mendapat pembelaan sewajarnya daripada semua pihak kerana kehidupan mereka agak sukar selepas ketiadaan ibu atau bapa.

“Bantuan atau pertolongan amat penting untuk mereka terus maju dalam pelajaran dan seterusnya membaiki kedudukan dan taraf ekonomi keluarga.

“Anak yatim perlu bangkit dalam semua aspek terutama membabitkan pelajaran bertujuan mengelak mewarisi kemiskinan kelaurga,” katanya ketika pemberita selepas merasmikan Majlis Minggu Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) Sekolah-sekolah Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (25 Jun).

Hadir sama Yang Dipertua Perkaya, Dato’ Dr Tengku Mahmud Mansor; Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Ngah Bidin dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Seramai 617 anak yatim Tahun Tiga dan Tahun Enam membabitkan 81 sekolah rendah di Kuala Terengganu menerima pakaian raya.

YB Razif memberitahu pihaknya meminta JPNT mengambil cakna mengenai cadangan ini kerana ia cukup bermanfaat dan dapat membantu golongan itu untuk terus cemerlang dalam pembelajaran.

“Pendidikan cukup penting bagi setiap pelajar, jika cemerlang dalam pelajaran, ia dapat membantu memperoleh kerjaya yang disegani dan seterusnya mampu mengubah kehidupan asal kepada yang lebih selesa,” katanya.

Katanya, cadangan Perkaya untuk mewujudkan Satu Sekolah Satu Kelab Anak-anak Yatim dianggap kurang sesuai kerana boleh menganggu emosi golongan itu yang diterpaksa diasingkan dengan palajar lain.