Halaman

09 June 2011

Pesta Pantai berjaya kekal tradisi nenek moyang

Oleh: Suriati Ali



Kerajaan negeri bercadang memperkenalkan Karnival Kebudayaan dan Sukan Pantai (KKSP) kepada masyakarat luar supaya dapat menarik minat pelancong asing untuk bersama-sama menyertainya.

KKSP atau sebelum ini dikenali sebagai Pesta Pantai dikalangan masyarakat setempat merupakan aktiviti tradisi nenek moyang bagi penduduk Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit sejak awal 1930 lagi.



Seramai 100 keluarga melibatkan 500 peserta dari kampung itu menyertai KKSP yang diadakan di Pantai Tanjung Gelam, Kuala Terengganu selama seminggu dan berakhir hari ini (9 Jun).

Aktiviti itu mampu mengeratkan silaturahim antara peserta di mana sebelum KKSP bermula, mereka sepakat mendirikan bangsal yang diperbuat daripada pelepah kelapa untuk dijadikan tempat tinggal.

Bangsal yang didirikan seakan rumah kerana lengkap dengan ruang tamu, bilik tidur dan dapur.



Pelbagai aktiviti diadakan bagi mengeratkan silaturahim dan menarik minat pengunjung, antaranya persembahan wayang kulit, dikir barat, bola sepak pantai, bola jaring, sukan rakyat dan pertandingan memasak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Muhammad Ramli Nuh, berkata dia memuji sikap penduduk Kampung Padang Kemunting kerana berjaya mengekalkan tradisi nenek moyang mereka yang diamalkan 80 tahun lalu.

“KKSP boleh juga dianggap sebagai hari keluarga kerana mereka yang menyertainya bersama-sama berganding bahu menyiapkan tugasan, menganjurkan sukan rakyat dan mengekalkan budaya kunjung-mengunjungi.

“Paling menarik, anak jati yang berkerja di luar Terengganu sanggup pulang ke kampung halaman untuk bersama-sama menyertainyabersama keluarga,” katanya ketika kepada pemberita ketika merasmikan karnival itu petang semalam (8 Jun).