Halaman

20 June 2011

Perkemas jentera parti - MB

Oleh; Esah Abdullah



Semua Ketua-ketua UMNO cawangan seluruh negeri diminta bersiap sedia dari sekarang untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu (BPUNT) merangkap Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, jentera parti perlu diperkemaskan dan semua ketua cawangan hendaklah bergerak seiring.

“Ahli-ahli di cawangan merupakan penentu kalah menangnya parti dalam setiap pilihanraya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Ketua-ketua Cawangan UMNO seluruh negeri di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu petang semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi BPUNT, YB Yahya Khatib Mohammad; Setiausaha, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Ketua Penerangan, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengarah Strategi BPUNT, Datuk Dr. Rosli Mat Hasan serta Ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan undangan Negeri (Adun) seluruh negeri.



Katanya, ketua cawangan lebih dekat dengan pengundi di peringkat akar umbi dan amat arif dengan sikap dan gerak geri anak buah dalam kampung masing-masing.

“Saya yakin dengan kemampuan ketua cawangan yang sentiasa menjaga kebajikan penduduk kampung dan rata-rata mereka terdiri daripada orang yang telah lama memegang jawatan berkenaan dan sudah masak dengan keadaan sekeliling,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad juga berharap semua yang sayangkan parti dapat bekerja dengan jujur dan ikhlas serta dapat beri maklumat tepat walaupun pahit untuk diterima dimana setiap kekurangan dan kesilapan akan diperbaiki secepat mungkin.