Halaman

23 June 2011

MBKT giat laksana pembangunan untuk kepentingan penduduk

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sedang giat merancang membangunkan projek besar bagi memberi manfaat kepada penduduk di dalam kawasan perbandaran menerusi Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Datuk Bandar MBKT Dato’ Adzlan Mohd Dagang berkata, antara projek itu adalah membina Kuala Terengganu (KT) Central iaitu sebuah stesen bas baru yang serba lengkap di kawasan Bukit Besar, membina sistem perparitan di kawasan Kuala Nerus dan menaik taraf beberapa jalan di bandar ini.

"Peruntukan di bawah Kementerian Pengangkutan hampir RM80 juta bagi membina lingkaran jalan di dalam bandar raya untuk memastikan KT Central dapat beroperasi dengan lancar tanpa menyebabkan kesesakan lalu lintas.

"Projek ini bergantung kepada selesainya pengambilan semula tanah untuk jalan dan juga tapak bangunan di kawasan Bandar Baru Hiliran, Bukit Besar yang sedang berjalan melibatkan keluasan keseluruhan kira-kira empat hektar," kataya ketika sidang akhbar pada majlis mesra media di Kelab Eksklusif MBKT di Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Pengarah Penyiaran Kawasan Timur, Dr Nawiyah Che Lah; Presiden Kelab Wartawan Terengganu, Encik Ayob Mamat serta wakil pelbagai media cetak dan elektronik.

Selain itu, MBKT juga akan membina sistem perparitan di kawasan Kuala Nerus bagi menghindari banjir yang sering berlaku di situ.

Dato’ Adzlan berkata, kerajaan negeri telah memohon peruntukan daripada kerajaan pusat berjumlah kira-kira RM150 juta bagi projek di bawah RMK-10 itu.