Halaman

01 June 2011

MB selar sikap pegawai, kakitangan kerajaan sengaja tangguh kes

Oleh: Aida Abd Rahman


Perkhidmatan kakitangan kerajaan di bahagian kaunter juga perlu cemerlang dan mengamalkan budaya perkhidmatan awam yang sebenar kerana mereka melambangkan imej kerajaan dan pentadbiran negeri. - YAB Dato' Seri Haji Ahmad Said.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengelar sikap segelintir pegawai dan kakitangan di jabatan kerajaan yang sengaja menangguhkan sesuatu urusan serta kes yang melibatkan pelanggan sehingga memakan masa 20 tahun sebelum ia dapat diselesaikan.

Beliau merujuk kepada pengalaman ketika menjawat jawatan exco (Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan) sebelum ini, terdapat beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Terengganu yang gagal mengeluarkan laporan audit akibat kes yang tertangguh terlalu lama.

Sebagai contoh, Majlis Perbandaran Kuala Terengganu tidak dapat menyelesaikan masalah pengeluaran audit berikutan tindakan sepatutnya tidak diambil oleh pegawai yang berkhidmat ketika itu.

“Ada kes pegawai serah kepada kerani kewangan dan supaya mengambil tindakan terhadap minit yang dibuat. Bagaimanapun kerani kewangan beranggapan kes sudah lama dan mengabaikannya sahaja menyebabkan kes itu terus berpanjangan tanpa penyelesaian,” katanya ketika berucap di majlis perjumpaan Menteri Besar dengan semua pegawai dan kakitangan agensi kerajaan Daerah Marang, di Dewan Balai Polis Daerah Marang, petang semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Yahya Khatib Mohamad dan yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Haji A Rahman Che Ali dan Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Abdul Rahman Bakar.
Menteri Besar berkata, akibat masalah itu, satu mesyuarat khas dibentuk dengan memanggil pihak audit bagi berbincang secara terperinci dan menyelesaikan kes yang tertangguh sekian lama itu.

Malah, di PBT Marang juga wujud masalah apabila perkhidmatan membersih kawasan tidak diselenggara dengan betul mengakibatkan kerajaan negeri terpaksa memberhentikan beberapa pegawai yang didapati tidak melaksanakan tugas dengan betul sebagaimana yang dikehendaki.

Selain itu, katanya, perkhidmatan kakitangan kerajaan di bahagian kaunter juga perlu cemerlang dan mengamalkan budaya perkhidmatan awam yang sebenar kerana mereka melambangkan imej kerajaan dan pentadbiran negeri.

Beliau berkata, jika ada kes pelanggan yang datang dari jauh, kadangkala terpaksa menaiki bas dua kali sebelum tiba di agensi kerajaan bagi menyelesaikan urusan mereka, tidak wajar sekiranya pegawai dan kakitangan awam di bahagian kaunter tidak melayani mereka dengan sewajarnya walaupun ketika itu operasi pejabat hampir tamat.

“Ada pula kerani yang tidak menyiapkan menaip sekeping surat dan meninggalkan pada mesin taip untuk menyambungnya keesokan hari kerana waktu pejabat sudah berakhir serta sanggup beratur di depan lif untuk segera pulang.

“Kita hanya mengira masa kita, tetapi masa sebenar untuk berkhidmat tidak diambil kira. Sebaik sahaja sampai di pejabat, lepas `punch card’ keluar minum, pukul 10 keluar minum, pukul 3 petang keluar minum, tengahari hantar dan ambil anak bersekolah. Berapa jam masa yang diambil untuk menjalankan tugas. Apabila kerja banyak membebel dan tidak mengambil kira masa bekerja yang dihabiskan untuk tujuan lain,” katanya lagi.