Halaman

23 June 2011

MB minta penjawat beri perkhidmatan terbaik

Oleh: Suriati Ali



Dato' Seri Haji Ahmad Said menyempurnakan gimik pelancaran Karnival Sukan Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah Terengganu 2011 di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu, Kuala Terengganu. - Foto: Harish Fadzillah.

Penjawat awam di Terengganu diminta memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat bertujuan mengelak pandangan serong dan tohmahan terhadap mutu perkidmatan awam.

Memperkenalkan slogan `Merakyatkan Pentadbiran & Pembangunan’ dan mengamalkan sistem Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal (5S) antara pendekatan yang dilaksanakan bertujuan memberi kebajikan dan keselesaan kepada rakyat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, dia menyarankan pejawat awam supaya tidak lupa mengamalkan etika mesra, jujur dan bertanggungjawab ketika menjalankan tugas.



“Pendekatan itu cukup penting berikutan mampu menaikkan imej jabatan di kalangan masyarakat,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Karnival Sukan Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah (Sudata) Terengganu 2011 di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu, malam tadi (22 Jun).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat; Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Nawawi Wan Ismail dan enam pegawai daerah lain.

Seramai 800 atlit mewakili tujuh Pejabat Daerah dan Tanah di seluruh Terengganu menyertai 14 acara pada kejohanan kali ketujuh itu.

Dato’ Seri Haji Ahmad memberitahu penganjuran sukan seumpama ini mampu meningkatkan tahap kesihatan, mewujudkan semangat tolenrasi dan kerjasama antara penjawat awam.

“Melalui kejohanan ini juga, ia mampu melahirkan lebih ramai kakitangan kerajaan yang berbakat dan berdisplin di samping dapat membudayakan sukan sebagai aktiviti sihat dalam kehidupan harian.



“Terengganu kini mampu menjulang nama di pelbagai ceruk negeri selepas berjaya meraih kejuaraan tiga kali dalam Sukan Malaysia (Sukma) dan merangkul Piala FA,” katanya.

Kerajaan negeri akan berusaha mengekalkan kecemerlangan ini selain berazam untuk terus mencipta pelbagai kejayaan dalam pelbagai bidang lain.