Halaman

18 June 2011

LPPKN adakan promosi saringan kesihatan

Oleh; Esah Abdullah

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Terengganu, akan mengadakan promosi perkhidmatan saringan kesihatan reproduktif percuma kepada orang ramai selama enam hari bermula 20 Jun ini.

Pengarah LPPKN Terengganu, Puan Nurfarhana Lee Mohd Zulkiflee berkata promosi ini diadakan di semua Klinik Nur Sejahtera seluruh negeri.

Katanya, pelbagai program menarik ditawarkan termasuklah perkhidmatan perancang keluarga bagi penerima baru dan ulangan untuk semua kaedah perancang kecuali implanon.

“Pemeriksaan lain termasuklah tekanan darah, Indeks Jisim Badan (BMI), ujian glukos dan kolestrol,” katanya kepada Teganukita.

Selain itu katanya, LPPKN akan menyediakan pemeriksaan pap smear dan mengesan barah payudara serta pameran kesihatan.

Pihaknya juga laksana aktiviti kembara kaunseling dengan memberi peluang pengunjung mengambil ujian psikologi seperti ujian stress dan cara gaya keibubapaan yang dikendalikan Pegawai Psikologi LPPKN.

Katanya, bagi menggalakkan penyertaan orang ramai jabatan menyediakan ‘cenderahati’ istimewa kepada 50 orang pengunjung pertama dalam setiap program yang diadakan.

Katanya sepanjang masa promosi orang ramai boleh mengunjungi Klinik Nur Sejahtera yang terletak di Tingkat 1, Pusat Niaga Paya Keladi, Kuala Terengganu, Jalan Mok Mek, Jerteh dan Jalan Yahya Ahmad di Dungun.