Halaman

28 June 2011

Laporan perisian komputer ugutan bunuh SMS tulen

Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu laporan perisian komputer yang disediakan berhubung siasatan kes ugutan bunuh melalui SMS yang membabitkan bekas Setiausaha Politik kepada mantan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Idris Jusoh, iaitu Datuk Dr.Ahmad Ramzi Mohd Zubir, adalah sama dengan yang terdapat dalam perisian komputer yang dirampas polis berhubung kes berkenaan.

Jutera Perisian Komputer, Encik Hafizullah Fikrie Rahman, berkata walaupun terdapat beberapa pindaan pada laporan asal yang dikemukakannya berhubung kes tersebut, ia tidak menjejaskan isi kandungan sebenar analisa yang dibuat berhubung kes berkenaan.

Beliau mengakui terdapat beberapa kesilapan menaip (typing error) dalam laporan asal yang disediakan beliau, tetapi ia tidak menjejaskan keseluruhan kandungan SMS yang dianalisa dari komputer tersebut.

Dalam prosiding di depan Hakim M.Bakri Abd.Majid, saksi pihak pendakwa itu memberitahu mahkamah kandungan SMS tersebut masih dalam bentuk asal walapun proses pemindahan sistem dilakukan sewaktu beliau menyediakan laporan analisa berkenaan seperti yang dikehendaki pegawai penyiasat.

“Saya memberi keutamaan bagi menyediakan laporan kes ini (ugutan bunuh melalui SMS) walaupun terdapat banyak permintaan bagi membuat analisa perisian komputer berhubung kes lain,” katanya.

Katanya, beliau menyediakan laporan itu kira-kira dua tahun lalu selepas diarah oleh pegawai penyiasat bagi menganalisa dua komputer yang dirampas polis berhubung kes berkenaan.

“Saya mendahulukan kes ini dan semua bahan-bahan bukti yang diserahkan berhubung kes ini,” katanya.

Dato’ Dr Ahmad Ramzi didakwa atas empat tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi SMS iaitu bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa mengancam mendatangkan kematian ke atas Adun Paka, Mohd Ariffin Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April tahun lalu di E-726 Kampung Kubang Parit.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi Adun, Abd Halim Jusoh (Permaisuri) dan Dato’ Rosol Wahid (Ajil) antara pukul 11.21 dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Beliau turut didakwa atas tuduhan pilihan, menggunakan perkhidmatan internet bagi menghantar SMS berbunyi: "Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?" kepada tiga Adun tersebut.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.

Dr Ahmad Ramzi turut dituduh memfitnah Wan Ahamad Wan Muda, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha kerajaan negeri dengan menghantar SMS ugutan itu menggunakan nombor telefon bimbit 019 -9158369 milik Wan Ahamad.

Tertuduh diwaklili oleh peguambela Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abdul Rahman.