Halaman

24 June 2011

Kerajaan negeri cakna rakyat – MB

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mencabar pemimpin parti pembangkang supaya menamakan perkara-perkara yang masih belum dilakukan Kerajaan Terengganu bagi menjaga kebajikan penduduk negeri ini, khususnya di kalangan umat Islam.

Beliau berkata, sehingga ini semua keperluan penduduk terutama dari kalangan golongan miskin dan berpendapatan rendah sudah disediakan sama ada oleh kerajaan negeri mahu pun Kerajaan Pusat yang diterajui Barisan Nasional (BN),

“Kerajaan Terengganu memberi bantuan bermula dari keperluan sekolah anak-anak berupa biasiswa, bantuan uniform dan bantuan awal kemasukan ke asrama penuh hinggalah ke universiti.

“Manakala bantuan lain turut disediakan kerajaan di segi bantuan untuk ibu tunggal, fakir miskin dan memulakan perniagaan,” katanya ketika berucap merasmikan mesuarat agung Persatuan Masjid Daerah Kemaman di Dewan Seri Geliga Majlis Perbandaran Kemaman, Kemaman, Terengganu Darul Iman.

Hadir sama pada majlis itu, Pegawai Daerah Kemaman, Haji Kamil Othman, imam dan bilal seluruh daerah Kemaman.

Menteri Besar berkata, penduduk negeri ini tidak perlu keliru dengan hasrat pemimpin Pas kononnya parti itu dan rakan-rakan mereka dalam pakatan pembangkang mahu menubuhkan Negara kebajikan jika diberi peluang memerintah negara ini.

“Dulu Pas mendakwa mereka berjuang untuk Islam tetapi kini merea tukar kepada negara kebajikan pula. Apa yang saya nampak pemimpin Pas menggunakan Islam semata-mata untuk kepentingan politik mereka saja,” katanya.

Beliau berkata, Pas tidak perlu mencanangkan kepada rakyat bahawa mereka mahu menjaga kebajikan mereka kerana perkara itu sudah lama dilakukan Kerajaan Barisan Nasional.