Halaman

22 June 2011

Keindahan Kuala Terengganu makin terserlah

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Keindahan Bandar Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air akan lebih terserlah selepas beberapa projek yang dirancang kerajaan di pinggir Sungai Terengganu siap sepenuhnya tidak lama lagi.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Adzlan Dagang, bekata antara projek yang dirancang ialah pembinaan semula Pasar Besar Kedai Payang dan Menara MBKT setinggi 30 tingkat yang berhampiran dengan muara Sungai Terengganu.

“Selain itu MBKT sedang menyiapkan projek Fasa I ‘water front’ di sepanjang Sungai Terengganu yang kini sebahagiannya sudah pun siap,” katanya pada majlis mesra media di Kelab Eksklusif MBKT di Batu Buruk, malam tadi.

Wakil pelbagai media cetak dan elektronik hadir pada majlis yang dirancang khusus bagi mengeratkan hubungan antara MBKT dan media.

Dato’ Adzlan berkata, rekabentuk Pasar Besar Kedai Payang yang baru sudah siap dan dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk kelulusan.

“Pihak kami berharap kerajaan negeri meluluskan segera projek tersebut kerana ia mampu mengubah lanskap kawasan tersebut menjadi lebih menarik dan unik,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Bandaraya Kuala Terengganu kini bukan lagi menjadi destinasi persinggahan pelancong dan pelawat seperti sebelum ini.

“Dulu pelancong singgah di Terengganu untuk berehat dan makan sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Bharu Kelantan, begitu juga mereka dari Kelantan singgah di sini sebelum ke Kuantan atau Kuala Lumpur,” katanya.

Bagaimanapun, kini, pelancong datang ke Terengganu untuk pelbagai tujuan termasuk melancong dan mereka menginap beberapa hari di Bandar ini atau kawasan sekitar, sambil membeli-belah.

Justeru, katanya, bandar ini menjadi sesak sewaktu cuti sekolah atau cuti panjang pada hujung minggu kerana dibanjiri pelancong.