Halaman

22 June 2011

Insentif RM800,000 untuk atlet Sukma Ke-13

Oleh: Aida Abd Rahman


Gambar fail.

Kerajaan negeri bakal mengagihkan insentif berupa wang tunai berjumlah kira-kira RM800,000 kepada semua atlet yang berjaya meraih pingat pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-13 Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Setiap pemenang pingat emas dalam acara individu ataupun berpasukan akan mendapat RM5,000, manakala pemenang pingat perak RM3,000, diikuti pemenang pingat gangsa akan menerima RM2,000 seorang dalam satu majlis khas yang dijangka berlangsung selepas Ramadan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat, berkata seramai 66 atlet mendapat insentif RM5,000 seorang hasil pungutan pingat emas dalam temasya edisi ke-13 yang lalu.
“Walaupun kita meraih 30 pingat emas keseluruhan, atlet yang menerima insentif atas kemenangan itu meningkat sekali ganda berikutan pingat itu banyak dikumpul menerusi acara berpasukan berbanding acara individu.

“Apabila acara berpasukan melibatkan sehingga 20 pemain dan faktor itu yang menyebabkan jumlah insentif meningkat begitu banyak,” katanya ketika sidang media di majlis perjumpaan bersama pengurus pasukan dan jurulatih Sukma Ke-14 Pahang 2012, di Dewan Auditorium 1, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Haji Zainal Abidin Hussin dan Timbalannya, Encik Ibni Amin Busu.

Dalam Sukma edisi ke-13 pada 2 hingga 12 Jun lalu, Terengganu meraih 30 pingat emas, lapan perak dan 12 gangsa untuk muncul juara keseluruhan dan mengekalkan kejuaraan itu buat kali ketiga berturut-turut dalam temasya itu sejak 2008.

Sementara itu, Kontinjen Terengganu mensasarkan 58 pingat emas menerusi penyertaan dalam 24 acara sukan yang menawarkan lebih 100 pingat emas, sekaligus berhasrat mengekalkan kejuaraan dalam temasya itu buat kali keempat berturut-turut.

Sehingga kini, Sukma Ke-14 Pahang 2012 dijangka mempertandingkan 18 sukan wajib seperti olahraga, menembak, pencak silat, tenpin boling dan skuasy, manakala lima sukan pilihan pula adalah tinju, golf, petanque, bola tampar dan ekuestrian.