Halaman

24 June 2011

`Hanelang' sukar digugat

Oleh: Aida Abd Rahman

Temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 Kuala Lumpur 2011 melabuh tirai dengan memahat Terengganu selaku juara hatrik sukan berprestij negara itu selepas menjuarainya pada 2008 dan 2010.

Pada edisi kali ini, kontinjen Terengganu yang membariskan 214 atlet melibatkan 119 lelaki dan selebihnya wanita membawa cabaran `Terengganu Hanelang’ untuk mensasarkan 27 emas, 18 perak dan 12 gangsa menerusi 17 acara yang disertai.

Misi mempertahankan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut berjaya dicapai, malah emas yang berjaya diraih meningkat daripada sasaran awal. Terengganu muncul juara selepas membolot 30 emas, lapan perak dan 12 gangsa dalam temasya 11 hari penuh gemilang itu.

Rentak cemerlang pasukan yang diterajui Dato’ Wan Ahmad Wan Muda, selaku Ketua Kontinjen Terengganu sememangnya sukar digugat sejak awal lagi selepas kontinjen itu banyak menguasai acara air, khususnya kanu dan mendayung, selain judo serta berbasikal.

Acara kanu membuktikan atlet negeri yang sinonim dengan laut dan pantai itu selaku jaguh sukan air apabila mendominasi acara berkenaan bagi meraih 12 emas, dua perak dan dua gangsa sepanjang persaingan tiga hari yang melabuh tirai pada 5 Jun lalu itu.

Atlet judo Terengganu menguasai gelanggang sepanjang tiga hari pertandingan di Dewan Majlis Olimpik Malaysia yang bermula 3 Jun apabila merangkul enam daripada lapan emas yang dipertandingkan.

Sumbangan emas judo daripada Syaiful Rizal Ahmad Zaidi dalam acara lelaki atas 90kg dan lelaki bawah 90kg oleh Farish Farhan Badri, manakala atlet wanita turut mempamerkan pencapaian cemerlang untuk membolot semua pingat emas yang ditawarkan bagi kategori wanita.

Nor Asnida Abdul Razak membawa pulang emas bagi acara atas 70kg, Nor Izzatul Fazlia Mat Tahir (bawah 70kg), Norsafrina Rahman (bawah 63kg) dan Nik Norlydiawati Nik Azman (bawah 57kg). Selain itu judo turut mengutip tiga gangsa.

Sebagaimana ramalan, skuad berbasikal turut menunjukkan taring dan antara acara yang mengesahkan kemaraan Terengganu untuk berada di takhta pungutan pingat apabila menghadiahkan empat pingat emas sepanjang empat hari (4 hingga 7 Jun) kejohanan di Velodrom Cheras itu berlangsung.

Satu daripada empat pingat pada hari terakhir menyaksikan pelumba keirin wanita Terengganu, Ummi Hamimah Muhamad berjaya merangkul johan selepas menamatkan perlumbaan dengan kepantasan 15.020 saat, mendahului 0.05 s di depan pemenang pingat perak, Ju Pha Som Net dari Perlis.

Acara mendayung pula berjaya memenangi lima daripada sembilan pingat emas yang ditawarkan sepanjang dua hari persaingan pada hari-hari terakhir temasya itu. Mendayung turut memungut satu perak dan dua gangsa.

Pencapaian gemilang skuad mendayung sepanjang 10 dan 11 Jun itu menjadikan jumlah kutipan pingat emas yang diraih kontinjen Terengganu kian bertambah bagi mengukuhkan penguasaan di tangga teratas dengan jumlah 28 emas.

Sementara dua emas terakhir yang melengkapkan kutipan emas ke-30 untuk kontinjen Terengganu sumbangan penuh bermakna masing-masing daripada skuad sofbol wanita dan pasukan bola tampar lelaki pada hari terakhir temasya itu.