Halaman

16 June 2011

Golongan muda perlu pupuk semangat patriotisme

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Golongan muda perlu memupuk semangat patriotisme dalam diri mereka bagi memastikan negara kita disegani negara-negara asing di masa depan.



Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permaisuri, YB Haji Abdul Halim Jusoh, berkata pada masa sama golongan itu juga dituntut agar menjaga tingkah laku mereka, termasuk berpakaian mengikut adat masyarakat Timur, bagi membentuk peradaban yang tinggi.



“Menjelang tahun 2020, Malaysia memerlukan masyarakat yang mempunyai semangat patriotisme dan beradap tinggi, agar negara kita disegani di peringkat global,” katanya ketika merasmikan Pertandingan Pengkisahan Kenegaraan 1Malaysia peringkat negeri Terengganu, di Dewan Terbuka Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKB) di Merang, Setiu, malam tadi.

Kira-kira 200 peserta PLKN yang sedang menjalani kursus tersebut turut hadir di majlis itu dan menyaksikan persembahan enam pasukan yang menyertai pertandingan berkenaan.



YB Abdul Halim berkata, golongan muda tidak boleh lalai dan melakukan apa saja kegiatan mengikut cita rasa mereka, tetapi mereka perlu menjaga tata susila dan menanam semangat cintakan negara.

“Keharmonian antara kaum perlu dipupuk bagi memastikan kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. Kita mahu negara kita terus dihormati dan disanjungi negara asing pada masa-masa akan datang,” tambahnya.



Sementara itu, daerah Kemaman muncul johan pertandingan itu dan menerima wang tunai RM2,000 serta piala manakala daerah Dungu muncul naib johan dan menerima wang tunai RM1,000 dan piala.

Daerah Kemaman akan mewakili negeri Terengganu untuk bertanding di peringkat kebangsaan yang akan diadakan tidak lama lagi.