Halaman

26 June 2011

Dua program baru Kalendar Pelancongan Negeri

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Dua program baru akan dimasukkan ke dalam Kalendar Pelancongan Negeri mulai tahun depan, bagi menarik lebih ramai pelancong datang ke Terengganu.

Program berkenaan ialah “Boat On The Road” iaitu memancing sambil santai dan pertandingan “power boat” peringkat antarabangsa di mana kedua-duanya akan diadakan di Tasik Kenyir.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata program “Boat On The Road” melibatkan peserta dari luar Terengganu manakala pertandingan “power boat” pula akan disertai negara-negara Asean.

“Kita akan masukkan kedua-dua program berkenaan dalam Kalendar Pelancongan Negeri pada tahun depan, khusus bagi menarik pelancong ke Tasik Kenyir dan negeri Terengganu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup dan penyampaian hadiah program Boat On The Road di Pengkalan Gawi, petang ini.

Hadir sama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, YB Dato’ Abd Rahin Said dan YB Haji Rozi Mamat dan Timbalan Ketua Pengarang Berita Harian, Encik Mahfar Ali.



Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri akan menyediakan pelbagai hadiah menarik bagi menggamit penyertaan kaki pancing dan ‘power boat’.

Beliau yakin berdasarkan sambutan sekarang ini, kedua-dua program berkenaan akan menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu, terutama di kalangan ‘kaki pancing’ dan peminat power boat.



Sementara itu, bagi pertandingan Boat On The Road, Mohd Shafik Izwan muncul johan kategori House Boat (individu) dan menerima hadiah wang tunai RM12,000 serta pelbagai hadiah iringan manakala Mohd Zahid Mohd Zain muncul naib johan (RM8,000).

Tempat ketiga bagi acara berkenaan dimenangi Saifuddin Abdul Rahman yang menerima wang tunai RM5,000.

Manakala bagi kategori kumpulan, johan dimenangi Kumpulan Alucas 2 yang menerima wang tunai RM30,000 dan pelbagai hadiah iringan manakala Kumpulan Marang Extreme Caster muncul naib johan (RM15,000) dan ketiga TCE Sport I (RM10,000).