Halaman

22 June 2011

Bakat dan kebolehan anak istimewa dikagumi

OIeh: Suriati Ali

Masyarakat diminta tidak memandang negatif terhadap kebolehan dan kemampuan pelajar pendidikan khas berikutan mereka sudah mampu berdikari selepas mendapat pendiidikan dan asuhan dengan sempurna.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Pendidikan Khas, Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Payong, Encik Shuhaimi Ahmad, berkata dia bangga kerana Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) cukup mengambil cakna mengenai kebajikan dan pendidikan anak-anak istimewa.

Katanya,pelbagai program dan persembahan pentas dianjurkan semata-mata untuk mengetengahkan bakat terpendam pelajar pendidikan khas.

“Pendekatan itu mampu menguatkan keyakinan dan semangat mereka untuk berdepan dengan orang ramai walaupun menyedari diri kurang sempurna.

“Pelajar pendidikan khas sangat istimewa sifat dan kaletahnya kerana mampu membuatkan orang ramai terhibur dengan persembahan mereka sehingga kadang-kala lagu sedih bertukar ceria,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa tidak perlu berasa rendah diri atau malu mempunyai anak istimewa kerana tanpa disedari mereka ini mempunyai pelbagai kelebihan lain.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Pentas Istimewa Pendidikan Khas 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (21 Jun).

Isteri Menteri Besar yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil rakyat Terengganu (Serikandi), To Puan Seri Hajah Norliza Mahmud sudi hadir merasmikan program.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran Malaysia, Encik Jalaludin Othman; Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas, Encik Ngah Bidin dan beberapa isteri Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang juga ahli Serikandi.

Program pertama kali dianjurkan Unit Pendidikan Khas JPNT itu mendapat pujian pelbagai pihak berikutan pelajar golongan itu mampu mempamerkan persembahan terbaik setanding dengan pelajar arus perdana.

Seramai 129 pelajar pendidikan khas membabitkan 14 sekolah menengah kebangsaan dan sekolah rendah di negeri ini mengadakan pelbagai persembahan pentas.

Antaranya termasuk drama muzikal, sajak, tarian, pentomin, silat, nyanyian, nasyid, tarian sewang dan dikir barat berisyarat.

Tenaga pengajar yang juga guru Sekolah Menengah Tembila Besut (Pendidikan Khas), Encik Rozaila Mat Ail, berkata dia bangga kerana anak didiknya mampu melakukan persembahan terbaik walaupun terdapat di antara mereka mengalami cacat penglihaan dan cacat pendengaran.

Katanya, bukan mudah untuk memujuk, mengasah dan menggilap bakat golongan anak istimewa ini kerana ia memerlukan perhatian serius dan komitmen yang cukup tinggi .

”Saya bersama 10 tenaga pengajar lain terpaksa mengambil masa selama tiga bulan iaitu bermula Mac lalu bagi mendapat keserasian dan berkeyakinan tinggi ketika berada di atas pentas.