Halaman

04 May 2011

YPM wujud 14 pusat Anjung Ilmu

Oleh: Esah Abdullah

Pusat penyelidikan dalam pembelajaran yang dikenali sebagai ‘Anjung Ilmu’ akan diwujudkan di 14 kawasan seluruh negeri ini menjelang akhir tahun membabitkan kos RM1.1 juta.

Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Prof. Dr Abdul Sharif Hamid berkata, pusat ini diwujudkan bagi membantu masyarakat luar bandar mendapatkan maklumat dengan lebih cepat dan tepat.


“Melalui projek tersebut YPM akan menyediakan kemudahan komputer dan program pembelajaran dengan menggunakan kaedah e-learning untuk membantu pelajar,” katanya ketika ditemui di majlis perasmian Pandu Puteri Turun Padang di Padang Astaka, Dungun.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor. Hadir sama Pengerusi YPM, Datuk Dr Rosli Mat Hassan.

Katanya, kewujudan Anjung Ilmu merupakan pendekatan YPM dalam usaha membantu masyarakat terutama kawasan luar Bandar mendapat pendedahan mengenai teknologi maklumat di samping mampu bersaing dengan masyarakat di bandar.

Selain itu katanya, YPM juga akan memperkenalkan alat pembelajaran e-block atau mesin pembelajaran muda yang dihasilkan menggunakan teknologi dari Brazil kepada pelajar sekolah rendah.

“E-block merupakan satu kaedah pembelajaran dengan menggunakan pendrive yang memberi tumpuan kepada subjek bahasa Inggeris, bahasa Malaysia dan Metamatik,” katanya.

Sempena majlis itu YPM telah menyumbangkan sebanyak RM50,000 kepada Persatuan Pandu Puteri Malaysia cawangan Terengganu bagi menjalankan pelbagai aktiviti terutama dalam bidang pendidikan.