Halaman

23 May 2011

YPKT sedia RM4 juta untuk program PJD

Oleh: Suriati Ali


Kita mensasarkan seramai 800 peminjam pada tahun ini di bawah program tersebut dan memfokuskan golongan mudah miskin, ibu tunggal serta belia yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan.

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menyediakan peruntukan RM4 juta bagi pinjaman di bawah Program Jaya Diri (PJD) pada tahun ini.

Pengarah YPKT Encik Mohd Shafaruddin Mustafa berkata, jumlah tersebut merupakan satu peningkatan peruntukan berbanding RM3.2 juta pada tahun lalu.

Katanya, pada tahun ini juga kerajaan negeri melalui YPKT meningkatkan jumlah pinjaman daripada minimum RM3,000 kepada RM10,000 setiap orang.

"Kita mensasarkan seramai 800 peminjam pada tahun ini di bawah program tersebut dan memfokuskan golongan mudah miskin, ibu tunggal serta belia yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan," katanya.

Beliau berkata, pada tahun ini pihaknya meluaskan skop pinjaman berkenaan kepada golongan keluarga 'mudah miskin' di bawah pendapatan RM2,500 seisi keluarga.

“Jenis projek yang diberi keutamaan pula melibatkan projek yang mudah meraih keuntungan seperti perniagaan makanan, kosmetik serta melibatkan perkhidmatan.

“Pihak kami akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan peserta di bawah projek berkenaan berjaya. Sejak projek ini dijalankan pada 1995, seramai 12,000 peserta telah terlibat dengan jumlah pinjaman bernilai RM27 juta.

"Kebanyakan mereka berjaya meningkatkan pendapatan daripada RM500 hingga RM1,500 sebulan setelah menyertai program ini,” katanya.

Katanya, ini jelas sekali membuktikan program berkenaan telah berjaya membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan ekonomi mereka

“YPKT tidak mengalami sebarang masalah mengenai bayaran balik peminjam, faktor ini mendorong peruntukan sedia ada ditambah.

"Setiap tahun peminjam yang berdaftar di bawah program ini membayar pinjaman berkenaan mengikut masa dan had yang telah ditetapkan," ujarnya.

Program PJD merupakan program di bawah pemantauan YPKT iaitu dengan memberi pinjaman tanpa faedah kepada golongan kurang berkemampuan untuk memulakan perniagaan bagi menambah pendapatan bermula dari RM3,000 sehingga RM10,000 kepada setiap orang.