Halaman

02 May 2011

Umno mampu tawan semula kawasan pembangkang

Oleh: Kamarudin bin Mat Akib


Dato' Sri Najib diiringi Dato' Haji Ahmad Said dan pemimpin Umno melawat pasar pekan Batu Enam.

Umno Terengganu yakin berdasarkan sambutan luar biasa penduduk tempatan khususnya di kawasan pembangkang menyambut kedatangan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, beberapa kawasan yang kini dikuasai pembangkang dapat ditawan semula pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri Manir dan Bukit Tunggal menunjukkan sokongan luar biasa terhadap program yang dianjurkan kerajaan negeri dan Barisan Nasional (BN), termasuk bagi menyambut Perdana Menteri, Sabtu lalu.

“Kita akan buat susulan di kawasan tersebut bagi meningkatkan sokongan rakyat terhadap BN dan Umno,” katanya pada sidang media di Kuala Berang, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan sambutan luar biasa penduduk di kawasan pembangkang itu, bukan setakat Manir dan Bukit Tunggal, tetapi beberapa DUN lain seperti Ladang, Sura dan Bukit Payong.

“BN boleh menang di kawasan berkenaan kerana sebelum ini kita pernah menang. Ia bergantung kepada isu dan calon yang dipilih untuk bertanding di kawasan berkenaan,” tambahnya.