Halaman

05 May 2011

TSG suntik kemunculan pelapis muda

Oleh: Aida Abd Rahman


Penubuhan TSG bertujuan menyediakan pasukan profesional yang mantap dan disegani di peringkat antarabangsa yang mampu mengangkat nama Terengganu ke serata dunia.

Kerajaan negeri yakin penubuhan pasukan profesional Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) mampu menyuntik semangat atlit pelapis dalam acara berbasikal di negeri ini.

Kecenderungan dan minat di kalangan remaja terhadap sukan itu jelas apabila di setiap daerah semakin ramai kumpulan remaja berkenaan berkayuh di jalan utama bagi memantapkan stamina masing-masing.

“Mereka ada hala tuju. Kalau dulu mereka main basikal hanya untuk suka-suka sahaja. Sebagai pasukan profesional (TSG), mereka dibayar gaji dan tidak keluar berlatih suka-suka. Kita ada sirkit dalam dan luar negara,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pejabat TSG, di Jalan Pejabat, Kuala Terengganu, petang semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat.

Menteri Besar memotong riben di pintu masuk pejabat TSG sebelum menandatangani plak sebagai simbolik perasmian seterusnya meninjau ruang pejabat yang akan menguruskan pentadbiran TSG secara profesional di bawah satu bumbung.

Dalam pada itu, Kerajaan Terengganu sedang mengkaji kemungkinan mendapatkan jurulatih luar negara bagi meningkatkan prestasi TSG, selain menghantar pasukan itu menyertai beberapa siri latihan di negara asing bagi menyesuaikan mereka dengan cuaca dan keadaan semulajadi di tempat orang.

Selain itu, Menteri Besar turut mengulangi kesediaan kerajaan negeri bagi mengiktiraf kejayaan yang dirangkul atlit negeri ini dalam setiap bidang sukan tanpa perlu menunggu sebarang permohonan daripada pihak pengurusan sukan serta atlit itu sendiri sebaik mereka menghasilkan kejayaan.

“Walaupun duit kita terhad, sebagai sebuah kerajaan negeri, kita boleh mencari penaja bagi menampung setiap perbelanjaan kita dalam sukan termasuk mengumumkan dua lagi syarikat yang akan menaja TSG, selain penaja yang sedia ada sekarang,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga tidak mahu aspek kewangan menjadi kekangan tetapi atlit itu sendiri harus membuktikan kecemerlangan dan kejaguhan mereka kerana kerajaan bersedia memberi insentif serta imbuhan yang setimpal.

Untuk rekod, idea penubuhan TSG tercetus daripada Menteri Besar sendiri yang bertujuan menyediakan pasukan profesional yang mantap dan disegani di peringkat antarabangsa yang mampu mengangkat nama Terengganu ke serata dunia.

TSG didaftarkan dengan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi tempoh pada 1 Januari 2011 hingga 31 Disember 2011 dan didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 16 Mac 2011.