Halaman

04 May 2011

Terima kasih PM – MBNT

Oleh: Kamarudin Mat Akib




Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) dan seluruh warga belia Negeri Terengganu melahirkan rasa syukur dan terima kasih di atas pemberian bantuan pentadbiran berjumlah RM1,029,000 kepada persatuan-persatuan belia Negeri Terengganu oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, sempena Program Turun Padang (PTP) Perdana Menteri ke Terengganu, Sabtu lalu.

Pengerusi MBNT, Encik Mat Yusof Mat Ali, berkata peruntukan tersebut merupakan pengiktirafan kerajaan terhadap warga belia Negeri Terengganu bagi menjayakan program keupayaan pertubuhan belia untuk “ Melayari Bahtera Belia Darul Iman “.

Beliau berkata, peruntukan itu akan diagihkan kepada MBNT, badan-badan gabungan MBNT dan dan badan-badan gabungan di peringkat daerah.

Di samping itu, semua 331 persatuan belia di Terengganu yang telah berdaftar dengan pertubuhan belia akan menerima sebanyak RM 2,000 bagi setiap persatuan.

“Harapan MBNT supaya semua persatuan membangkitkan kembali semangat persatuan-persatuan belia untuk terus aktif dan bersaing untuk melaksanakan aktiviti kepada ahli mereka dan warga masyarakat.

“Program yang akan dijalankan juga mestilah berteraskan kepada kelangsungan bagi menjamin kelangsungan kerajaan yang memerintah pada hari ini,” ujar beliau.

Beliau berharap persatuan belia dapat menguruskan pentadbiran persatuan dengan sebaik mungkin dan menjalankan aktiviti yang boleh menjadi pendokong transformasi sebagaimana yang dihasratkan oleh Perdana Menteri.

Penyampaian Cek Bantuan tersebut akan disempurnakan oleh Y.A.B Menteri Besar Terengganu pada 19 Mei 2011 Sempena Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Terengganu tahun 2011 yang diadakan di Padang Astaka, Kuala Berang Hulu Terengganu.

Pada majlis itu, Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT), badan-badan gabungan MBNT dan setiap persatuan belia akan menerima cek masing-masing daripada Menteri Besar Terengganu.

Antara aktiviti-aktiviti lain yang akan diadakan oleh Majlis Belia Negeri Terengganu dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu sempena Sambutan Hari Belia 2011 Peringkat Negeri adalah :-

1. City Night Games
2. Karnival Sukan Tradisional
3. Liga Sukan untuk semua
4. Perkhemahan Transformasi Belia
5. Larian Hari Belia
6. Cabaran Kayak Belia
7. Cub-cross
8. Auto show
9. Konvoi Belia
10. Ceramah Agama, Solat Hajat & Doa Selamat