Halaman

06 May 2011

Terengganu sedia bantu kecemerlangan atlet

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Kerajaan Terengganu memberi galakan dan pengiktirafan di atas kejayaan anak-anak Terengganu di bidang sukan.

Kerajaan Terengganu sedia memberi sumbangan dan bantuan kepada mana-mana atlet kelahiran Terengganu yang beraksi cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata langkah itu bertujuan membantu melahirkan lebih ramai atlet negara, sekaligus mengharumkan nama Terengganu.

“Kita sedia mengiktiraf kejayaan anak-anak Terengganu di bidang sukan dan menghulurkan bantuan yang diperlukan pada bila-bila masa bagi meningkatkan prestasi mereka,” katanya ketika diminta mengulas kejayaan seorang lagi anak Terengganu, Mohd Nafizwan Adnan, 25, yang mengukir nama dalam sukan skuasy.

Mohd Nafizwan muncul juara dalam Kejohanan Individu Asia Ke-16 yang berlangsung di Georgetown kelmarin, apabila menewaskan pilihan pertama, Ong Beng Hee.

Sebelum ini, Terengganu melahirkan beberapa atlet yang berjaya mencipta nama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuk Azizulhasni Awang dan Anuar Manan dalam lumba basikal.

Kejayaan mereka itu mendorong kerajaan negeri mengurniakan pelbagai anugerah, termasuk wang tunai dan tanah lot kediaman.