Halaman

29 May 2011

Terengganu hargai jasa guru

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Jika mahu dinilai, jasa para guru mendidik anak-anak watan memang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. - YAB Dato' Seri Ahmad bin Said.

Keputusan Kerajaan Terengganu pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, untuk menaja 110 guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaaan (SK) dari negeri ini melawat luar negara merupakan ‘hadiah’ Hari Guru yang tidak ternilai bagi warga pendidik.

Jika mahu dinilai, jasa para guru mendidik anak-anak watan memang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

Golongan pendidik banyak telah berkorban dalam usaha mereka mendidik dan mengajar anak murid masing-masing, tanpa mengira masa dan waktu, lebih-lebih lagi menjelang peperiksaan awam.

Dalam konteks Terengganu pula, kesungguhan para guru mengajar terbukti apabila negeri ini muncul sebagai negeri terbaik pada setiap kali peperiksaan awam diumum, mengatasi negeri-negeri lain yang jauh lebih maju di bidang fizikal.

Terengganu telah muncul sebagai negeri terbaik bagi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) selama 10 tahun berturut-turut dan tiga tahun berturut-turut bagi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Begitu juga dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Terengganu menjadi antara negeri terbaik pada tahun 2010 dan 2009.

Menteri Besar ketika mengumumkan ‘anugerah’ sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri di Dungu kelmarin turut mengakui jasa guru tidak ternilai dengan wang ringgit.

Beliau menegaskan ganjaran itu diberi kerajaan negeri sebagai menghargai jasa mereka yang mendidik anak bangsa hingga mencapai kejayaan sekaligus mengharumkan nama negeri.


Harapan besar terletak di bahu para guru untuk menggalas harapan agar terus mengekalkan negeri ini sebagai yang terbaik dalam semua peperiksaan awam di masa depan.

Daripada jumlah itu, 50 orang guru besar SK yang cemerlang dalam UPSR akan dibawa melawat ke Korea pada cuti sekolah Ogos ini dan meninjau kelas maya yang ada di negara berkenaan.

Manakala 60 orang lagi terdiri pengetua SMK yang cemerlang dalam PMR dan STPM akan dibawa melawat ke Perth, Australia.

Kita mengharapkan para guru yang terpilih menerima ganjaran tersebut tidak mensia-siakan harapan kerajaan negeri dan seluruh rakyat Terengganu agar mereka melipatgandakan usaha untuk membantu meningkatkan kecemerlangan pendidikan di negeri ini.

Kini harapan besar terletak di bahu mereka untuk menggalas harapan agar terus mengekalkan negeri ini sebagai yang terbaik dalam semua peperiksaan awam di masa depan.