Halaman

11 May 2011

Terengganu berkemampuan biayai dua pasukan bola sepak

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri berkeupayaan menyediakan peruntukan khusus untuk membiayai dua pasukan bola sepak di negeri ini berbanding negeri lain, sekaligus kelebihan itu membuka peluang pekerjaan dan mencungkil bakat muda dalam arena bola sepak negara ini.

YB Haji Rozi Mamat (BN-Telemong) berkata demikian ketika sesi penggulungan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Katanya, Terengganu melahirkan ramai pemain berwibawa yang bukan hanya mewakili dua pasukan negeri, Terengganu dan T-Team, malah enam anak Terengganu turut mewakili pasukan Malaysia sehingga membawa negara menjuarai Piala Suzuki AFF tahun lalu.

“Sekarang bukan soal tidak cukup duit (biayai dua pasukan), kedua-duanya kita pantau dengan secukup-cukupnya kerana kerajaan negeri prihatin untuk memberi peluang pekerjaan kepada anak Terengganu serta melonjak kecemerlangan dalam bidang sukan terutama bola sepak,” katanya bagi menjawab kenyataan YB Haji Muhammad Ramli Nuh (BN-Tepoh) mengenai perkembangan sukan itu ketika sesi perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri itu juga menolak dakwaan segelintir pihak mengenai wujudnya persaingan tidak sihat antara dua pasukan itu selain ada pertelingkahan yang memberi kesan buruk kepada pihak pengurusan.

Katanya, ada pemain dari pasukan T-Team pada musim lalu bertukar haluan ke Terengganu pada musim ini dan begitu juga sebaliknya. Malah, pertukaran pemain T-Team itu juga melonjak namanya selaku antara penjaring terbanyak dalam Liga Super musim ini.

Beliau juga yakin kedua-dua pasukan sedang memburu tempat terbaik dalam Liga Super dan satu daripadanya akan mampu menjulang kejuaraan Piala Malaysia musim ini .