Halaman

04 May 2011

T-Team bubar jika gagal tingkat prestasi

Oleh: Aida Abd Rahman



Kerajaan negeri memberi tempoh setahun lagi kepada pasukan T-Team bagi memperbaiki prestasi mereka dan jika gagal, pasukan itu berdepan dengan tindakan dibubarkan.

“Kalau mereka main `yo-yo’ macam ni, kita beri masa tahun depan sebagai tahun terakhir untuk T-Team. Lebih baik peruntukan untuk T-Team kita beri untuk satu pasukan sahaja.

“Duit itu kita boleh laburkan dalam jumlah yang lebih besar. Sekarang ini FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) putuskan mulai tahun depan pasukan profesional kita boleh ambil tiga pemain profesional dari luar,” katanya ketika sidang akhbar selepas menyampaikan Anugerah Sukan Negeri Terengganu 2009/2010, di Wisma Darul Iman, malam kelmarin.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pelaburan yang besar kepada pasukan T-Team yang gagal menyerlah dan meningkat dalam persaingan liga lebih baik digunakan untuk membiayai pemain yang benar-benar hebat serta mampu memberi hasil kepada prestasi pasukan.

“Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena. Kita kena siasat, sedangkan saya nampak hari ini kebanyakan pemain bintang ada dalam T-team berbanding dengan pasukan negeri sendiri (Terengganu),” katanya.

Ketika ditanya mengenai status jurulatih T-Team, Menteri Besar berkata, beliau tidak mahu mencampuri aspek itu selain menyerahkan kepada pihak pengurusan T-Team bagi menyelesaikannya dengan langkah yang terbaik.

Bagaimanapun, katanya apa yang lebih utama beliau hanya mahu melihat hasil yang positif berlaku dalam pasukan T-Team selepas ini.

T-Team beraksi hambar dan meletakkannya antara pasukan tercorot dalam Liga Super, sekaligus menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong sehingga menggesa jurulatih T-Team ditukar.

Pada 25 April lalu, pihak pengurusan mengambil tindakan merehatkan sementara Ketua Jurulatih Yunus Alif, bagi meredakan suasana dan kini, Shafie Pak dilantik sebagai jurulatih sementara pasukan itu.