Halaman

18 May 2011

Sidang DUN lulus dua usul, satu rang undang-undang

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang bersidang selama empat hari mulai 9 Mei lalu, ditangguhkan hari ini.

Sidang tersebut meluluskan dua usul iaitu merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Teramat Mulia Tengku Seri Bendahara Raja, Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja, kerana menyampaikan ucapan bersempena pembukaan Penggal Yang Keempat bagi Dewan Undangan Negeri Kedua Belas.

Satu lagi usul yang turut diluluskan dengan sebulat suara ialah penetapan kadar imbuhan bulanan Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja bagi tempoh bermula 30 Ogos 2010 sehingga tamat tempoh perlantikan mereka, sebanyak RM10,000 seorang.

Sidang DUN juga turut meluluskan satu rang undang-undang iaitu Enakmen Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (Pindaan) 2011.

Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang kemudiannya menangguhkan sidang DUN pada tengahari ini dan ia akan bersidang semula pada tarikh yang akan ditentukan kelak.