Halaman

30 May 2011

SATU tanggung kerugian RM18 juta setahun

Oleh: Aida Abd Rahman



Kerugian kira-kira RM18 juta setahun terpaksa ditanggung Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) akibat kehilangan air yang berpunca daripada kes paip bocor dan pecah di seluruh negeri.

“Masalah paip pecah atau paip bocor itu antara lain disebabkan oleh usia paip yang terlalu lama dan bagi mengatasi masalah itu SATU mewujudkan pasukan khas bagi memantau kawasan-kawasan yang terlibat. Kita juga meminta kerjasama penduduk agar melaporkan kepada SATU jika ada sebarang kebocoran paip di kawasan kediaman mereka.
"Dengan adanya pasukan khas itu, kita sasarkan kehilangan air tak berakaun dapat dikurangkan kepada 35 peratus tahun ini," kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib selepas merasmikan Hari Terbuka Loji Air SATU, di Hulu Terengganu, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Haji Husain Embong.

Datuk Za’abar berkata, ketika ini SATU menyalurkan 97 peratus bekalan air bersih di seluruh Terengganu kepada 283,000 pengguna melibatkan 14 buah loji dan dikenakan bayaran 52 sen bagi satu liter kiub berbanding kos memproses air sebanyak 59 sen satu liter kiub.

"Caj dikenakan kepada penduduk sangat rendah berbanding kos memproses air bersih dan sudah sampai masanya kajian untuk tarif baru dibuat memandangkan kos memproses air semakin meningkat," katanya.

Menurutnya, antara komponen kos utama memproses air ialah bekalan elektrik dan bahan kimia masing-masing melibatkan jumlah RM30 juta dan RM3.8 juta pada tahun lepas.

Katanya, pihak SATU turut memberi lebih tumpuan kepada kawasan yang kritikal seperti di Kemaman iaitu di kawasan perindustrian Teluk Kalong bagi menyediakan bekalan air kepada pelabur yang akan membuka kilang di situ.

Selain itu juga, tumpuan juga akan dilakukan di Kuala Nerus memandangkan pembangunan yang pesat sedang berlaku di kawsan itu selain keadaan paip-paip yang sedia ada sudah usang dan sering mengalami kebocoran.

“Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan senbanyak RM2 juta bagi memulakan kajian pembinaan loji rawatan air yang baru di Kuala Nerus dan Kemaman untuk meningkatkan keselesaan pengguna di kedua-dua kawasan itu kelak,” katanya lagi.