Halaman

06 May 2011

Projek kereta kabel akan diteruskan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan meneruskan rancangan membina kereta kabel dari Pangkalan Gawi ke Taman Tema Air di Pulau Poh, Tasik Kenyir seperti yang dihebahkan sebelum ini, bagi menambah tarikan pelancong ke tasik buatan terbesar Asia Tenggara itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya akan melantik syarikat perunding bagi merumuskan reka bentuk dan menilai kos pelaksanaan projek itu.

Katanya, walaupun projek kereta kabel itu tidak secanggih di Pulau Langkawi sekali gus membabitkan kos yang lebih rendah, tetapi ia memadai untuk mencapai matlamat bagi memudahkan perhubungan antara daratan dan kawasan menarik di beberapa pulau yang sedang dibangunkan.



"Pembinaan kereta kabel itu adalah sebahagian daripada perancangan besar yang sudah dirangka kerajaan negeri yang dijangka membabitkan peruntukan RM500 juta untuk membangunkan keseluruhan Tasik Kenyir.

"Selain kereta kabel, turut termasuk dalam perancangan menyeluruh itu adalah pembinaan 20 chalet tambahan di Pulau Petang membabitkan peruntukan RM50 juta, pembinaan dua bot aluminium baru dan pembangunan pulau tema khas merangkumi taman burung, taman air, taman haiwan dan orkid," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kenyir 2011, Hulu Terengganu, hari ini (6 Mei).

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pembinaan taman burung di sebuah pulau di tasik itu sedang giat dilaksanakan dengan kerjasama kepakaran pengusaha zoo mini Burung Kuang di pekan Ajil, manakala taman orkid akan menempatkan 1,800 spesies bagi menarik kunjungan peminat bunga eksotik itu.