Halaman

21 May 2011

Pertahankan kuasa Umno, BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin meminta ahli Umno mempertahankan kuasa Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan ia terus berkuasa memerintah negara ini selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Justeru itu, beliau menuntut supaya ahli Umno agar terus bersatu dan melupakan segala sengketa sesama sendiri agar Umno dan BN terus utuh dan menerajui pemerintahan negara ini.

“Kuasa politik amat penting bagi memastikan kerajaan (BN) terus boleh memartabatkan agama, bangsa dan negara,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Dato’ Haji Mohamed Awang Tera; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, Ir Rosli Othman dan Adun Air Putih, Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Tan Sri Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata PRU 13 merupakan pilihan raya yang paling sengit dalam sejarah politik tanah air.

“Pada pilihan raya kali ini kita akan menghadapi cabaran paling hebat daripada parti pembangkang, berbanding pilihan raya sebelum ini. Oleh itu, ia menuntut kita semua supaya memastikan parti lebih kuat untuk berdepan dengan mereka,” ujarnya.

Beliau meminta semua pihak supaya memperkemaskan jentera parti bagi berdepan dengan parti pembangkang pada pilihan raya umum akan datang agar Umno dan BN dapat terus mempertahankan kerajaan BN.