Halaman

02 May 2011

Penerbangan terus Terengganu – Bandong Jun depan

Oleh: Kamarudin Mat Akib


YAB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said menjawab pertanyaan wartawan dalam sesi sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan penjawat awam agensi kerajaan negeri, badan berkanun dan jabatan Persekutuan daerah Hulu Terengganu.

Perkhidmatan penerbangan terus dari Kuala Terengganu ke Bandong, Indonesia akan dimulakan pada bulan Jun depan, bagi meningkatkan bidang pelancongan di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata penerbangan terus yang dikendalikan Syarikat Heritage Air akan dimulakan pada 2 Jun depan di mana pesawat akan bertolak dari Lapangan Sultan Mahmud Kuala Terengganu terus ke Bandong.

“Syarikat berkenaan akan menawarkan pakej empat hari tiga malam untuk pelancong dari Terengganu berada di Bandong dan begitu juga dari Bandong akan tinggal di Kuala Terengganu selama empat hari tiga malam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan penjawat awam agensi kerajaan negeri, badan berkanun dan jabatan Persekutuan daerah Hulu Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, buat masa syarikat tersebut akan mengadakan perkhidmatan itu dua kali seminggu bagi membolehkan pelancong dari Bandong melawat Terengganu dan sebaliknya.

“Kita harap perkhidmatan ini akan menambah bilangan pelancong ke negeri ini dan meningkatkan aktiviti pelancongan negeri,” ujarnya.

Beliau juga berkata, perkhidmtan itu mungkin akan ditambah di masa depan jika ia mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan pelancong.