Halaman

02 May 2011

Pastikan persekitaran pejabat berkualiti

Oleh: Esah Abdullah



Kerajaan negeri telah memutuskan untuk membuat pengambilan 25 orang Pegawai Tadbir Negeri secara kontrak bagi mengisi kekosongan yang terdapat di beberapa jabatan di negeri ini tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, untuk pengambilan tahun ini semua jawatan berkenaan akan ditawarkan kepada golongan lelaki memandangkan bilangan kakitangan wanita sudah mencukupi.

“Bukan kerajaan menidakkan peranan wanita dalam perkhidmatan awam tetapi memandangkan bilangan wanita sudah ramai, kita putuskan ambil kaiitangan lelaki tahun ini,” katanya kepada pemberita di majlis Penyerahan Sijil Amalan Persekitaran Berkualiti 5S, di Pejabat Daerah dan Tanah Setiu hari ini.

Katanya, semua jabatan perlu melatih pekerja agar mematuhi sistem persekitaran berkualiti secara berterusan supaya ia menjadi amalan dan budaya kerja dalam organisasi.

“Sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa amal (5S) mestilah menjadi amalan berterusan, bukan terhenti bila mendapat sijil kerana amalan ini dapat memberi kemudahan kepada kakitangan ketika menjalankan tugas masing-masing,” katanya.

Sehubungan itu Dato’ Haji Mazlan turut mengingatkan semua penjawat awam dapat menyediakan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

“Dalam dunia perkhidmatan bukan pembendaharaan yang membayar upah kepada penjawat awam tetapi pelangan yang membayar gaji, kerana sumber hasil yang dikutip daripada orang ramai itulah memberikan mereka upah,” katanya.