Halaman

01 May 2011

Meja, bangku buluh terpanjang di Manir catat Malaysia Book Of Record

Oleh: Aida Abd Rahman


Meja bulat terpanjang di negara ini sekaligus mencatat dalam Malaysia Book Of Record.

Meja bulat dan bangku terpanjang berukuran 65 meter diperbuat daripada buluh yang dicipta khas sempena lawatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak diiktiraf terpanjang di negara ini sekaligus mencatat dalam Malaysia Book Of Record (MBOR).

Hasil kerja tangan penduduk kampung yang dibina secara bergotong-royong sejak seminggu lalu itu menjadi tempat utama Perdana Menteri bersama tetamu kehormat yang lain menikmati jamuan makan tengahari bersama 15,000 rakyat yang membanjiri program Perjumpaan dan Mesra Rakyat di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, semalam.

Wakil MBOR, Cik Myra Dzaman menyerahkan sijil pengiktirafan itu kepada Perdana Menteri sebelum pemimpin utama negara menyerahkannya pula kepada PP DUN, Encik Yusof Awang Hitam.

Selain meja dan bangku buluh, pentas utama juga dibina secara tradisional dengan dinding dan lantai menggunakan material kayu nibung, manakala atap dihasilkan daripada daun pokok sagu.

Sebelum pengumuman dan penyerahan MBOR itu, Perdana Menteri terlebih dahulu menyampaikan bantuan pakaian sekolah dan kebajikan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Antara penerima bantuan berkenaan adalah Wan Ibrahim Wan Yusof, 72, dari Kampung Tualang bagi kategori warga emas, Lim Hin Tian, 72, dari Kampung Kedai, Manir yang mewakili 300 penerima dari kategori miskin, Abdullah Long, 51, dari Kampung batu Hampar menerima bantuan RM20,000 akibat rumahnya terbakar baru-baru ini.

Selain itu, bantuan turut diberikan kepada 1,450 penerima bantuan pakaian sekolah bagi seluruh DUN Manir dan diikuti penyampaian Bantuan Hari Raya daripada Perdana Menteri kepada PP DUN untuk golongan warga emas, ibu tunggal, miskin, Orang Kurang Upaya yang berjumlah 5,800 penerima.