Halaman

03 May 2011

MB kesal sikap masyarakat abai kesihatan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri kesal dengan sikap segelintir masyarakat, terutama penghidap penyakit kronik yang lebih gemar mendapatkan rawatan bomoh tradisional berbanding pakar perubatan profesional.

Kebanyakan mereka mula sedar atau ingin mendapat rawatan di hospital atau mana-mana klinik selepas penyakit yang dihidapi berada pada tahap berbahaya atau sukar dirawat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sikap seperti ini perlu dikikis kerana bukan sahaja memberi kesan buruk kepada diri sendiri malah keluarga dan anak-anak yang masih memerlukan kasih sayang.

Katanya, kesan buruk lain, termasuk menjejaskan produktiviti harian, peningkatan beban kewangan keluarga dan kualiti hidup rendah.

“Penyakit kronik mudah berlaku sekiranya seseorang itu mengamalkan gaya hidup kurang sihat, tidak aktif, mengamalkan pemakanan kurang berzat dan merokok.

“Kematian pra-matang akibat penyakit kronik juga tinggi iaitu 26 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian di hospital kerajaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Hari Kesihatan Sedunia dan Hari Penyakit Kronik peringkat Terengganu di Bandar Permaisuri, Setiu, hari ini (3 Mei)

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A Rahman Mokhtar; Ahli Parlimen Setiu, YB Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Permaisuri, YB Haji Halim Jusoh.

Tetamu kehormat lain, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nordiyanah Hasan, Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Encik Ishamudin Hashim dan beberapa pemimpin masyarakat.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk senamrobik, berbasikal, dikir barat dan pertandingan mewarna poster bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya penjagaan kesihatan, mengelak penyakit dan mempromosi amalan cara hidup sihat.

Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata kerajaan negeri membelanjakan ratusan ribu setahun bagi membina padang bola, gelanggang futsal, kawasan riadah, lokasi berjonging dan sebagainya semata-mata memberi kemudahan kepada masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

“Pihak berkaitan termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu turut mengadakan pelbagai aktiviti berfaedah, seperti senamborik, sukan rakyat, berkayak dan bola sepak, tetapi malangnya hanya segelintir sahaja yang mengambil peluang dan selebihnya lebih gemar berehat di rumah.

“Terdapat di antara mereka menjadikan alasan sibuk bekerja sehingga tiada masa untuk beriadah sebaliknya lebih gemar melepak di warung atau kedai kopi,” katanya.