Halaman

03 May 2011

Konsep 1komuniti 1koperasi digerak seluruh negara

Oleh: Esah Abdullah

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bercadang untuk menubuhkan 1kariah 1masjid bagi mewujudkan konsep 1komuniti 1koperasi yang akan digerakkan ke seluruh negara.

“Koperasi Kariah Masjid (KKM) akan dijadikan jentera bagi pembangunan masjid dan anggota kariah sesuai dengan perkembangan ekonomi negara,” kata Presiden Angkasa, Prof Dato’ Dr Mohd Ali Baharum.

Katanya, koperasi ini akan bergerak untuk membangunkan ekonomi kariah, mengerakkan kegiatan sosial dan yang lebih penting untuk menarik golongan muda mengimarahkan masjid.

Selain itu, peranan masjid menjadi lebih besar dan koperasi dapat menjadi entiti yang menjalankan perniagaan untuk memenuhi keperluan ahli-ahli kariah.

“Peranan KKM akan menjadi lebih menyerlah dengan tertubuhnya Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa (Kopsya Angkasa), membantu menyalurkan keperluan kewangan yang diperlukan untuk tujuan pembangunan masjid,” katanya pada majlis Seminar Penubuhan KKM Terengganu di Taman Tamadun Islam (TTI).

Menurut Prof Dato’ Dr Mohd Ali, Angkasa bersama Syarikat Koperasi Malaysia (SKM) akan memberi bimbingan dari pelbagai sudut sehingga tertubuhnya KKM dan akan menunjuk ajar cara menceburi bidang perniagaan.

Sehingga ini, katanya, terdapat 6,600 buah masjid seluruh negara, daripada jumlah berkenaan 489 buah di negeri ini di mana kebanyakan masjid mempunyai harta waqf yang jika dirancang pembangunan secara sistematik pasti memberi pulangan ekonomi yang baik kepada masjid.

“Jika harta-harta waqf dapat dibangunkan secara menyeluruh lagi terancang sudah tentu pulangan hasilnya dapat membangunkan masjid dan ahli-ahli kariah mendapat manfaatnya,” katanya.