Halaman

06 May 2011

Kerajaan sasar wujud 600 koperasi menjelang 2015

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri mensasarkan kira-kira 600 buah koperasi dapat diwujudkan di seluruh negeri ini dengan jumlah keahlian lebih 650,000 menjelang tahun 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera berkata, ia bertujuan menggalakkan komuniti setempat dapat melibatkan diri dalam perniagaan di samping membantu meningatkan ekonomi negeri selaras dengan matlamat kerajaan negeri ` satu kampung satu koperasi’.


Katanya, pada masa ini sebanyak 350 buah koperasi telah wujud di seluruh negeri yang melibatkan keahlian lebih 300,000 ahli dengan modal pusingan bernilai kira-kira RM400 juta.

``Daripada jumlah bilangan koperasi itu kira-kira 50 peratus adalah koperasi berbentuk mirko, manakala 44 peratus berskala sederhana kecil dan hanya enam peratus berskala besar,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Simposium dan Ekspo Usahawan Felda (Simex) 2011 Felda Wilayah Terengganu di Hotel Tanjung Vista semalam. Hadir sama Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Abd Malib Abd Rani.

Menurutnya, setiap tahun kerajaan negeri memperuntukkan antara RM200,000 hingga RM250,000 bagi memberikan bantuan kewangan sebanyak RM10,000 kepada setiap koperasi yang diluluskan.

``Dengan adanya bantuan tersebut diharap dapat membantu koperasi baru menggerakkan aktiviti bagi kepentingan ahli yang berdaftar sekaligus membantu meningkatkan ekonomi keluarga,’’ katanya.

Katanya, kerajaan negeri bekerjasama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam membantu kominiti setempat menubuhkan koperasi di kawasan masing-masing.

``Tumpuan penubuhan koperasi itu turut melibatkan peringkat kampung, tanah rancangan , Jawantakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan masjid digalakkan untuk menubuhkan koperasi.’’ Katanya.

Menurut Dato’Mohamed, setiap koperasi baru yang diluluskan penubuhannya akan mendapat bantuan kewangan sebanyak RM40,000 iaitu RM 10,000 daripada kerajaan negeri dan RM30,000 lagi daripada SKM.

Bagaimanapun katanya, kelulusan sesebuah koperasi itu juga akan mengambil kira jenis perniagaan yang dilaksanakan untuk memastikan ia mampu berdaya saing di samping memberi keuntungan yang baik kepada ahli.

Selain itu katanya, dalam usaha memastikan koperasi tersebut terus aktif, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) turut menubuhkan unit koperasi dalam memberi bimbingan, khidmat nasihat dan pinjaman agar terus berkembang dan sekaligus menjadi pemangkin kepada pembangunan usahawan di negeri ini.

Di majlis itu turut diadakan penyampaian anugerah usahawan kepada lima usahawan Felda yang berjaya. Masing-masing menerima wang tunai RM1,000 dan sijil yang disampaikan oleh Dato’Mohamed.

Manakala Ekspo Usahawan Felda (Simex) 2011 Felda Wilayah Terengganu berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Taman Shahbandar membabitkan 30 gerai dengan menjual dan mempamerkan pelbagai produk.