Halaman

14 May 2011

Kerajaan janji 1,000 unit rumah untuk DUN Batu Buruk

Oleh: Aida Abd Rahman


YAB Dato' Seri Ahmad Said disambut meriah oleh penduduk Batu Buruk.

Kerajaan negeri bercadang membina 1,000 unit rumah mampu milik kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk sekiranya penduduk di kawasan itu kembali memilih Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata selepas lebih 20 tahun Batu Buruk dipimpin oleh parti Pas ternyata penduduk tidak mendapat apa-apa manfaat daripada pemimpin pembangkang berkenaan khususnya dalam menyelesaikan masalah perumahan dan persekitaran penduduk.

“Kita juga mengharapkan rakyat berterima kasih dan selepas 20 tahun kita kalah, Pas tidak mampu berbuat apa-apa, masalah perumahan dan masalah persekitaran begitu serius. Kalau rakyat mahukan perubahan, rakyat perlu berubah.

“Biasalah `give and take’. Bukan rasuah politik, ini perkara biasa dan kita akan mendahulukan penyokong kita. Pas memerintah pun mereka mendahulukan penyokong mereka,” katanya ketika sidang media di Pantai Chendering, Mukim Chendering, DUN Batu Buruk, hari ini.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Pegawai Pembangunan DUN Batu Buruk, Dato’ Haji Che Mat Jusoh dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.



Sebelum itu, Dato’ Seri Haji Ahmad yang dalam lawatan sempena Program Sehari Bersama Menteri Besar Terengganu di DUN Batu Buruk meninjau perkembangan dan mendengar taklimat mengenai kemajuan Masjid Raja Chendering, kira-kira jam 7.30 pagi.

Menteri Besar berkata, jika rakyat di DUN Batu Buruk melakukan perubahan dan memberi kemenangan kepada BN pada PRU nanti, kerajaan negeri akan menyelesaikan masalah tanah dan perumahan termasuk membina 1,000 rumah flat kepada rakyat di kawasan Batu Buruk.

Berikutan itu, kerajaan negeri akan mengarahkan Pegawai Daerah Kuala Terengganu mengenal pasti tapak yang boleh diambil balik sebagai persediaan awal untuk merealisasikan hasrat itu.

Beliau mengharapkan pengundi di Batu Buruk berubah dan perkara itu dimaklumkan lebih awal bagi mengelak salah tanggapan segelintir rakyat bahawa kerajaan hanya mahu berkempen sempena PRU dan hanya sebagai janji kosong, sebaliknya kerajaan negeri bersedia melaksanakannya jika perubahan itu benar-benar berlaku kelak.

Katanya, masalah perumahan rakyat merupakan masalah utama yang diberi perhatian oleh kerajaan negeri dan terbukti apabila kerajaan sudah menyediakan lebih 6,000 lebih unit rumah kos rendah yang berprestasi tinggi dari segi saiz selain memberi harga subsidi sehingga 50 peratus serta mencecah RM75,000 hingga RM80,000 seunit.

Seramai 26,344 pengundi pemilih di DUN Batu Buruk yang melibatkan 11 peti undi termasuk Peti Undi (PU) Pantai Batu Buruk, PU Kenanga, PU Kampung Nibong, PU Gong Tok Nasek, PU Bukit Depu, PU Permin Jaya, PU Chendering, PU Chendering Pantai, PU Kolam Kuala Ibai, PU Kuala Ibai dan PU Mengabang Tengah.