Halaman

18 May 2011

Kerajaan belanja RM9.228 juta bina Zoo Bukit Takal.

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri telah membelanjakan RM9.228 juta bagi pembinaan Zoo Bukit Takal Kemaman dan sebanyak RM2.88 juta bagi belanja pengurusan zoo berkenaan sepanjang 2008 hingga 2011.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata demikian ketika menjawab soalan lisan, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Buruk) di sidang Dewan Undangan Negeri pagi ini.

Katanya, binatang yang terdapat di zoo berkenaan setakat ini ialah mamalia, reptilia, burung dan ikan. Manakala kos pembiayaan binatang berkenaan sekitar RM40,000 sebulan.

Walau bagaimana pun Menteri Besar memerlukan notis bagi menjawab soalan tambahan daripada Dato’ Haji Harun Taib (Pas-Manir) yang ingin tahu jumlah kematian binatang peliharaan di zoo berkenaan.

Haji Mohd Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) kemudian telah mengamatkan dewan apabila bertanya mengenai dua ekor kambing yang dihadiahkan oleh Dato’ Haji Harun Taib (Pas Manir) sama ada masih hidup atau sudah mati.

Dalam nada berseloroh Menteri Besar berkata, kedua-dua ekor kambing berkenaan ( sebenarnya bukan hadiah tapi dibeli) sudah mati di baham harimau kumbang.