Halaman

16 May 2011

Kerajaan akan pasang CCTV di kawasan lumba haram

Oleh: Esah Abdullah


Menteri Besar meluangkan masa melawat Adik Ahmad Fakri Azni, 10, pelajar Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Chabang Tiga telah dirempuh dari belakang oleh remaja bermotosikal di HSNZ. - Foto: Zul Putra

Kerajaan negeri bercadang untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di semua kawasan yang dikenal pasti bagi mencegah berlakunya perlumbaan haram oleh kumpulan remaja yang digelar mat rempit di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata,bila ada CCTV, gambar aksi mereka dapat dirakam dan akan panggil ibu bapa mereka untuk melihat kegiatan anak-anak mereka yang mendatang bahaya kepada orang ramai.

“Saya akan minta kerjasama pihak polis untuk kenal pasti kawasan itu dan kerajaan akan pasang CCTV,” katanya kepada pemberita selepas membuat melawat keadaan mangsa rempuhan mat rempit di Wad 5CD Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) petang ini.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Encik Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid; dan Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Mohamad Omar.

“Saya merayu ibu bapa agar menasihatkan dan memantau pergerakan anak masing-masing supaya tidak terlibat dengan perlumbaan haram ini dan kerajaan hanya mampu memberi nasihat sebaliknya kesedaran ibu bapa dan remaja berkenaan itu yang penting,” katanya.

Menteri Besar telah meluangkan masa melawat Adik Ahmad Fakri Azni, 10, pelajar Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Chabang Tiga telah dirempuh dari belakang oleh remaja bermotosikal yang cuba meloloskan diri daripada sekatan polis di Kampung Seberang Baruh Sabtu lalu.

Mangsa yang patah tulang belakang dan retak tempurung kepala menerima tujuh jahitan di kepala turut mengalami luka di bahagian badan dan tangan serta masih dirawat di hospital.



Semasa kejadian, mangsa yang sedang menunggang basikal melambung dan tercampak kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian akibat rempuhan kuat motosikal Ex-5 milik mat rempit yang yang juga seorang anggota Rela.

Remaja berusia 18 tahun dari Kampung Tok Imam Lapar, Kuala Telemong itu berjaya ditangkap oleh orang ramai yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

Menteri Besar kemudiannya berpuas hati dengan perkembangan kesihatan Ahmad Fakri yang sudah boleh bercakap dan boleh mengingati kemalangan yang berlaku.

“Alhamdulillah, Ahmad Fakri sudah semakin pulih dan ingat apa yang berlaku, mengikut kata doktor yang merawatnya tadi dua tiga hari lagi boleh balik ke rumah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke wad berkenaan.