Halaman

02 May 2011

Kekosongan jawatan di jabatan kerajaan diisi segera

Oleh: Esah Abdullah



Kerajaan negeri akan menyegerakan mengisi kekosongan jawatan yang terdapat di semua pejabat Daerah dan Tanah seluruh negeri selewat-lewatnya pada Jun tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, semua kekosongan yang terdapat di jabatan-jabatan kerajaan negeri sudah dikenalpasti dan akan diambil perjalanan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri (SPAN).

“Kekosongan jawatan Pegawai Tadbir Negeri sudah berada diperingkat akhir untuk mengeluarkan surat tawaran kepada mereka yang berjaya,” katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Sijil Amalan Persekitaran Berkualiti 5S daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di Pejabat Daerah Setiu, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Setiu, Haji Mohamad Nor Ibrahim; Pegawai MPC, Encik Mohd Yazid Abdul Majid dan Ketua Penolong Pentadbir Tanah, Encik Marzuki Endut.

Katanya, di Pejabat Daerah dan Tanah Setiu sendiri terdapat 28 kekosongan pelbagai jawatan dan dijangka dapat diisi tahun ini juga.

Katanya, iklan kekosongan bagi jawatan Pegawai Tadbir Agama Negeri bagi gred S41 dan ke atas juga akan dikeluarkan dalam masa terdekat ini bagi mengisi kekosongan yang begitu ketara di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

“Saya haraf pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri mengambil perjalanan terhadap perkara berkaitan dan kekosongan tersebut dapat dibuat dengan kadar yang segera,” katanya.

Kerajaan juga akan membuat pengambilan kakitangan di bawah gred kumpulan sokongan dan buruh secara tetap selaras dengan hasrat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk memasukkan kakitangan baru tujuan ganti mereka yang tamat tempoh (pencen) atau tambah kekurangan anggota.

Berkait dengan persijilan 5S, Dato’ Mazlan berkata kebanyakan jabatan kerajaan telah selesai melaksanakan 5S, tetapi tempoh menunggu untuk mendapatkan pengesahan mengambil masa sedikit kerana ia dinilai oleh MPC.