Halaman

25 May 2011

Kekalkan momentum kecemerlangan

Oleh: Aida Abd Rahman

Semua pihak perlu mengenal pasti kekuatan dan kelemahan yang menyebabkan daerah Kemaman merosot teruk dalam prestasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 berbanding kejayaan muncul antara daerah terbaik dalam peperiksaan awam itu dalam tempoh dua hingga tahun lalu.

Ketua Penolong Pengarah Sains Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Haji Muhamad Tawan, berkata semua pihak perlu memberi perhatian serius bagi mengekalkan momentum kejayaan itu pada tahun ini dan tahun akan datang.
“Sekurang-kurangnya program yang menghimpunkan pelajar yang berpotensi pada kali ini mampu menjadi landasan terbaik untuk menyuntik semangat pelajar menggandakan usaha dan mencapai kejayaan, seterusnya membaiki prestasi masing-masing.

“Pelajar boleh mencontohi dan menjadikan Menteri Besar sebagai idola melalui apa yang diserlahkan penganjur dan melihat apa kekuatan serta ciri yang ada pada Yang Amat Berhormat (Dato’ Seri Haji Ahmad),” kata beliau ketika berucap sempena pelancaran Majlis Idolaku, Impianku, anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kemaman, di Dewan Sri Amar, Kemaman, kelmarin.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said melancarkan majlis itu. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasek, Ir Rosli Othman dan Pegawai PPD Kemaman, Encik Zakaria Hussin.

Haji Muhamad berkata, satu kajian khusus perlu dilaksanakan oleh pengurusan sekolah, guru besar dan pihak terlibat bagi menyediakan wadah kecemerlangan pelajar dalam mencapai hasrat melestarikan bidang pendidikan di daerah itu.

“Pelbagai aktiviti dan program perlu dijana bagi membangunkan potensi dalam diri setiap pelajar dan program `idolaku, impianku’ ini umpamanya, haruslah diperhebatkan lagi ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) serta setiap sekolah supaya kesannya lebih besar kepada kumpulan sasar,” katanya lagi.

Beliau berkata, program juga bukan hanya memberi tumpuan untuk melihat kejayaan murid yang bakal berdepan dengan UPSR, malah diperluaskan kepada pelajar bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah mahupun Sijil Pelajaran Malaysia.

Menurutnya, peluang dan ruang yang ada perlu disusuli dengan usaha tanpa jemu oleh semua pihak dan memastikan program `201052’ yang menjadi sasaran utama kerajaan negeri untuk memperkasakan bidang pelajaran di Terengganu mampu menjadi kenyataan.