Halaman

21 May 2011

Belia perlu sertai program ilmiah elak tanggapan negatif masyarakat

Oleh: Suriati Ali

Penyertaan remaja atau belia dalam program berbentuk ilmiah dan kemasyarakatan mampu menangkis tanggapan segelintir masyarakat terhadap golongan itu di mana sebelum ini sering dicemuh menjadi penyumbang besar terhadap pelbagai gejala sosial dan kegiatan kurang sihat.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Dato’ Haji Jailani Ngah, berkata masyarakat tidak wajar memandang serong terhadap golongan belia berikutan masih ramai di antara mereka berhati mulia dan terpelajar.

“Apa yang membanggakan mampu mengharumkan nama negara dalam pelbagai aktiviti berfaedah, termasuk sukan, pidato dan sebagainya,”katanya kepada pemberita ketika bersama-sama menyertai gotong-royong sempena program Pendidikan Imam Muda 2011, di perkarangan masjid lama, Kampung Tok Jembal, Kuala Terengganu, semalam, (20 Mei).

Kira-kira 200 pelajar sekolah menengah dan penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam di kawasan Parlimen Kuala Nerus dan Setiu dipilih Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (Jheat) untuk mengikuti program selama tiga hari yang berakhir hari ini (21 Mei).

Program anjuran Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasa Jheat turut menampilkan bekas Juara Imam Muda Encik Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan yang kini menjadi idola masyarakat.

Muhammad Asyraf bukan saja menjadi pendorong kepada peserta untuk melakukan yang terbaik malah mengembirakan penduduk setempat terutama kanak-kanak yang hadir dalam program jelajah itu. Rata-rata mereka tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar, bersalaman dan berbual mesra.

Dato’ Haji Jailani berkata, program ini cukup istimewa kerana setiap tingkah laku, kerjasama dan ketrampilan peserta sepanjang program akan diberi markah oleh juri berpengalaman sebelum diumumkan juara di akhir program.

“Sesiapa yang bergelar juara akan ditawarkan pekerjaan secara kontrak sama ada sebagai imam atau bertugas di jabatan kerajaan yang berkaitan selepas tamat pengajian kelak. Sekiranya, pemenang terdiri daripada pelajar pula, mereka dijanjikan biasiswa untuk menyambung pelajaran di mana-mana IPT,” katanya.

Projek perintis ini mampu melahirkan seorang imam dan pemimpin soleh di kalangan pelajar dan penuntut selain dapat mendidik mereka supaya menjadi insan cemerlang, berkaliber dan berilmu.