Halaman

01 April 2011

Usaha elak penyu kepupusan

Oleh: Aida Abd Rahman

Usaha memulihara penyu terus diperkasakan bagi memastikan haiwan dua alam yang berdepan dengan risiko kepupusan itu dapat meneruskan kelangsungan hidup dan mencapai jangka hayat lebih panjang.

World Wide Fund of Nature (WWF) dengan kerjasama Jabatan Perikanan Terengganu mempertingkatkan usaha untuk memastikan pemuliharan penyu di Kampung Penarik, Setiu terus dipertingkatkan.

Pegawai Komuniti dan Kesedaran WWF, Mr River Foo, berkata usaha bersepadu digembleng pihaknya dengan kerjasama Jabatan Perikanan bagi memastikan tempat perlindungan penyu di Setiu itu tidak terancam.

“Pada masa yang sama, renjer juga dilantik bagi memantau sepanjang pesisir pantai jika terdapat pendaratan penyu yang tidak dijangka. Kita juga mempunyai kakitangan sukarela bagi menjaga pusat pentasan telur penyu yang terdiri daripada penduduk kampung,” katanya.

MR River juga melahirkan rasa gembira apabila kesedaran orang ramai mengenai ancaman penyu semakin bertambah menerusi sokongan yang diberikan dalam penganjuran setiap program dan kempenmengenai kepupusan penyu.

Katanya, jika sebelum ini kebanyakan penduduk tempatan gemar makan telur penyu yang turut menyumbang kepada kepupusan haiwan itu, kini mereka berubah positif hasil kempen kesedaran yang dilaksanakan kerajaan dengan badan berkaitan.

Menurutnya, WWF dan Jabatan Perikanan juga akan terus bergerak seiring supaya penyu dapat terus hidup dan bertelur dengan selamat, selain tidak mati akibat terperangkap dalam pukat nelayan serta sampah sarap yang mencemari perairan.

Selain itu, jangka hayat seekor penyu lazimnya mencecah 60 tahun. Bagaimanapun, haiwan amfibia itu berdepan dengan risiko kepupusan akibat pelbagai faktor persekitaran termasuk menjadi pemangsa ikan jerung, hidupan akuatik ynag lain serta kegiatan manusia.