Halaman

09 April 2011

TINJAUAN UNTUK LAWATAN PM: TENGKU PUTERA LAWAT PASAR BATU ENAM



Tengku Putera bersama rakyat minum pagi di gerai Alias di Pasar Batu Enam-Gambar oleh Wan Norislam Wan Hashim
Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Bagi memastikan lawatan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak ke pasar Batu Enam dan bertemu rakyat termasuk peniaga dan pelanggan pada 30 April ini berjalan dengan lancar,tinjauan awal dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Tengku Putera Awang.

Beliau tiba ke pasar berkenaan kira-kira jam 8.30 pagi ini (9 April) dengan beberapa orang pegawai kerajaan termasuk dari Pejabat Setiausaha Kerajaan, Majlis Bandaraya, Polis DiRaja Malaysia dan beberapa jabatan lain. Hadir sama Pegawai Pembangunan DUN Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik.

Turut mengiringi Dato' Tengku Putera ialah Pengerusi Persatuan Penjaja Pekan Batu Enam, Haji Harun dan Setiusaha persatuan, Encik Alias.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu minum pagi bersama rakyat di gerai makan yang baru siap dibina oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Kemudian menemui penjual kuih, ikan dan sayur-sayuran serta buah-buahan di dalam pasar berkenaan. Walaupun berlainan dari segi fahaman politik kepartian, tetapi suasana mesra dan meriah tetap wujud di antara pemimpin dan masyarakat di situ.

Kemudian beliau ke Kampung Pengkalan Arang, iaitu kampung berhampiran yang akan dikunjungi oleh Perdana Menteri dalam lawatan "Turun Padang" pada 30 April ini.

Dato' Tengku Putera berkata, inilah sebenarnya harapan Perdana Menteri kerana konsep lawatan Turun Padang beliau itu adalah untuk bersama rakyat tanpa mengira fahaman politik kepartian.