Halaman

20 April 2011

TH bayar zakat hampir RM3 juta

Oleh: Suriati Ali


Majlis penyerahan cek zakat disampaikan Encik Mohd. Hisham Harun kepada Tengku Sri Bendahara Raja Tengku Mustafa Kamel Sultan Mahmud bagi pihak Maidam, di Istana Tetamu di Kuala Terengganu.

Tabung Haji (TH) menyerahkan wang zakat perniagaan tahun ini berjumlah RM2,931,925.89 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Sumbangan zakat tersebut menyaksikan peningkatan sebanyak RM153,665 berbanding RM2,778,291 pada tahun lalu.

Penyerahan cek zakat tersebut disampaikan Pengurus Besar Kanan Kewangan Korporat & Perkhidmatan TH, Encik Mohd. Hisham Harun kepada Tengku Sri Bendahara Raja Tengku Mustafa Kamel Sultan Mahmud bagi pihak Maidam, di Istana Tetamu di Kuala Terengganu, pagi tadi.

Pada majlis itu, anak syarikat TH iaitu TH Travel & Services turut menyerahkan sumbangan zakat perniagaan berjumlah RM150,000 kepada Maidam yang disampaikan oleh Pengurus Wilayah Timurnya, Ahmad Zawawee Mohd. Noor.

Hadir menyaksikan penyerahan itu Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman.

Encik Mohd. Hisham berkata, sumbangan zakat perniagaan tahun ini adalah hasil kutipan daripada 428,852 pendeposit di negeri ini sepanjang tahun 2010.

“Untuk zakat perniagaan tahun 2009, ia merupakan sumbangan daripada 351,518 pendeposit di Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan wang zakat itu.

Beliau turut memberitahu, TH sedang mengkaji untuk menyediakan perkhidmatan bagi kemudahan para jemaah Haji di tiga negeri Pantai Timur sejurus Kompleks TH Wilayah Timur di Kuala Nerus siap pada Julai 2012 nanti.

Beliau memberitahu, buat masa ini, pembinaan projek berkenaan yang menelan belanja RM70.3 juta itu kini baru lima peratus siap dan bakal menyediakan pelbagai fasiliti untuk jemaah haji.

"Apabila kompleks berkenaan siap kelak, ia turut menempatkan 182 bilik, bilik persidangan untuk kapasiti 1,000 orang selain hotel dan kolam renang," katanya.