Halaman

03 April 2011

Terengganu perintis Manual Keluarga Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu muncul sebagai negeri perintis yang memperkenalkan buku panduan `Manual Keluarga Terengganu’ yang bakal diedarkan secara percuma kepada setiap keluarga sebagai usaha membentuk keluarga berkualiti dan cemerlang.

Buku panduan yang disediakan kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dijangka diedarkan pada penghujung tahun ini kepada setiap keluarga.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Yahya Khatib Mohamad, berkata program baru mewujudkan satu manual lengkap bagi setiap keluarga di negeri ini bertujuan memberi rujukan ke arah kecemerlangan hidup.

“Kita sediakan panduan kepada keluarga dan ibu bapa khususnya, supaya mereka mendapat input berguna daripada risalah atau buku yang kita hasilkan kelak. Sekurang-
kurangnya mereka boleh membentuk hubungan kekeluargaan yang baik, lancar dan sihat.

“Kita yakin, apabila berjaya membentuk keluarga cemerlang, pastinya kita dapat mengurangkan gejala sosial serta jenayah yang banyak membantutkan usaha pembangunan negeri mahupun negara amnya,” katanya kepada Teganukita dalam satu wawancara khas, di pejabat beliau, baru-baru ini.

Beliau berkata, buku yang sedang dalam proses penyusunan itu akan menjurus kepada banyak skop kekeluargaan yang merangkumi usia awal kelahiran sehinggalah dewasa mengikut acuan Islam dan gaya hidup yang sihat.

YB Yahya berkata, penerbitan buku panduan itu juga antara fokus utama portfolio beliau yang memfokuskan kepada pengukuhan dan pengupayaan ke arah melahirkan masyarakat seimbang dan cemerlang.

“Hasilnya kelak, pasti mampu mengurangkan masalah kemiskinan melalui peningkatan arah kecemerlangan kualiti hidup keluarga dan pembangunan masyarakat secara menyeluruh menjelang 2013,” katanya.

Sehingga kini, pelbagai program dijalankan bagi meningkatkan kualiti keluarga seperti `Second Honeymoon’, Program Ibu Sejati, Keluargaku Syurgaku dan `Parenting@Work’.

Katanya, setiap program yang dijalankan memfokuskan empat teras utama bagi mencapai strategi yang dirangka kerajaan negeri khususnya bagi membasmi kemiskinan, mengurangkan gejala sosial, meningkatkan kualiti hidup keluarga serta pembangunan masyarakat secara menyeluruh.