Halaman

20 April 2011

Sokongan pastikan Terengganu genggam Piala FA

Oleh: Aida Abd Rahman



Terengganu bakal berkunjung ke Stadium Darul Makmur bagi menentang Pahang dalam perlawanan separuh akhir Piala FA pada 12 Mei ini.

Pasukan kendalian Irfan Bakti itu berjaya mara selepas memenangi perlawanan peringkat suku akhir menentang perak dengan agregat 5:4 pada 19 Mac lalu.

Sehubungan itu, Kelab Penyokong Terengganu (Peteh) menyediakan pengangkutan bas kepada mana-mana penyokong yang berminat bagi mengikuti rombongan ke stadium itu nanti.

Setiausaha Kelab Peteh, Wan Mohd Azmi Wan Ngah, berkata bayaran termasuk tiket dan penangkutan kepada ahli sebanyak RM35, manakala bukan ahli pula RM50.

“Mana-mana yang berminat boleh membuat tempahan segera di Pejabat kelab Peteh di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada waktu pejabat. Tempat yang disediakan amat terhad,” katanya.

Beliau berharap penyokong memberi semangat tidak berbelah bahagi kepada pasukan Terengganu dan dapat membangkitkan semangat pemain supaya mampu melakar kejayaan pada perlawanan itu kelak.

Katanya, sebagai kelab penyokong, pihaknya sentiasa bersama pasukan bola sepak Terengganu bagi memastikan Terengganu mampu menggenggam piala pertama itu pada musim ini.

Terengganu kini berada di tangga kedua Liga Super dengan mengumpul 25 mata, di belakang pendahulu liga, Selangor.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Perak semalam, Terengganu hanya sekadar seri selepas menyamakan kedudukan menerusi jaringan Abdul Hadi Yahya (minit ke-59). Perak membuka jaringan awal menerusi Mohd Shafiq Jamal (minit ke-8).